Nelydia fail rayuan ganti rugi RM89,144.03 - Utusan Malaysia

Nelydia fail rayuan ganti rugi RM89,144.03

Nelydia Senrose
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon drama, `Setia Hujung Nyawa’, Nelydia Senrose memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen di sini yang memerintahkannya membayar ganti rugi sebanyak RM89,144.03 kepada sebuah syarikat kosmetik kerana melanggar kontrak.

Nelydia atau nama sebenarnya, Nik Zaris Nelydia Nik Sen, 26, memfailkan notis rayuan di Mahkamah Tinggi di sini melalui firma guaman, Tetuan Asyraf Vivek & Wee tersebut pada 26 Oktober lalu dengan menamakan Chriszen Malaysia Sdn. Bhd. (Chriszen) sebagai responden.

Media memperoleh dokumen tersebut melalui carian sistem mahkamah dan turut mendapati rayuan itu ditetapkan untuk pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Nurliana Ismail melalui prosiding atas talian (e-review). 

Menurut memorandum rayuan yang difailkan pada 26 November lalu, Nelydia selaku perayu mendakwa Hakim Mahkamah Sesyen, Shamsudin Abdullah telah terkhilaf apabila memutuskan bahawa pelakon terbabit telah melanggar kontrak sedangkan masih ada tempoh empat bulan untuk beliau menyempurnakan terma perjanjian.

Nelydia juga mendakwa hakim telah terkhilaf apabila memutuskan heroin filem ‘Jebat’ perlu membayar ganti rugi kos majlis pelancaran produk Chriszen sedangkan syarikat itu telah menerima notis dan mengetahui pelakon terbabit tidak dapat menghadiri majlis itu.

Pelakon itu antara lain mendakwa Hakim Mahkamah Sesyen terkhilaf dari segi undang-undang apabila gagal memberikan pertimbangan yang wajar bahawa perayu telah melaksanakan kewajipannya dalam perjanjian yang dimeterai antaranya dengan syarikat berkenaan.

Pada 13 Oktober lalu, Hakim Mahkamah Sesyen Shamsudin Abdullah memerintahkan pelakon itu membayar jumlah ganti rugi itu selepas membenarkan saman Chriszen yang didakwa tidak ikhlas dalam melaksanakan tugasnya sebagai duta jenama syarikat itu.

Antara alasan yang diberikan mahkamah ialah Nelydia lebih mementingkan bulan madunya daripada menunaikan tanggungjawabnya sebagai duta produk sedangkan telah mengetahui tarikah majlis pelancaran produk lebih awal

Dalam masa sama, Chriszen turut memfailkan rayuan balas selepas tidak berpuas hati terhadap jumlah ganti rugi yang diberikan oleh Mahkamah.

Syarikat kosmetik itu dalam rayuan yang difailkan semalam (7 Disember 2020) menyatakan, Hakim terkhilaf apabila hanya menetapkan ganti rugi sebanyak RM62,275 sedangkan kerugian yang dialaminya ialah RM102,275.

Selain itu syarikat itu turut menyatakan hakim terkhilaf apabila hanya memberikan ganti rugi khas berjumlah RM26,869.03 sedangkan responden memohon ganti rugi sebanyak RM61,702 kerana terpaksa menanggung kerugian perbelanjaan bagi penyediaan acara dan kehilangan reputasi yang tidak dapat dipulihkan.

Semakan di mahkamah mendapati kedua-dua rayuan itu ditetapkan untuk pengurusan kes pada 19 Januari 2021 di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Nurliana Ismail. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN