ISKANDAR PUTERI : Seramai 1,475 nelayan di kawasan Johor Selatan menghargai bantuan sebanyak RM1.435 juta daripada kerajaan negeri Johor yang disalurkan bertujuan membantu mereka terkesan akibat pandemik Covid-19.
Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Johor Selatan, Azli Mohd. Aziz berkata, bantuan itu amat diperlukan mereka bagi menampung perbelanjaan harian selain membeli peralatan menangkap ikan.
”Bantuan akan dibahagikan kepada seluruh ahli. Sumbangan ini memberi makna yang besar kepada kami golongan nelayan dan secara tidak langsung dapat meringankan beban yang ditanggung berikutan kekurangan pendapatan.
”Saya mewakili seluruh nelayan mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri Johor di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad yang prihatin dengan nasib golongan seperti kami,” katanya semasa ditemui selepas Majlis Penyerahan Bantuan Khas Nelayan Johor Selatan 2020 di Bangunan Dato’ Jaafar Mohammad di sini hari ini.
Terdahulu, Hasni hadir menyampaikan replika cek bantuan kepada Azli.
Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor, Datuk Samsolbari Jamali dan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Azmi Rohani.
Azli berkata, tahun ini merupakan yang keenam berturut-turut pihaknya menerima bantuan daripada Kerajaan Negeri Johor.
”Saya bersyukur kerana Kerajaan Negeri masih memberi perhatian kepada golongan nelayan di kawasan Johor Bahru Selatan yang turut terjejas akibat pembangunan setempat,” katanya. -UTUSAN ONLINE