Nasi kosong lauk budu menu harian 7 sekeluarga - Utusan Malaysia

Nasi kosong lauk budu menu harian 7 sekeluarga

SHAMSUDDIN bersama keluarganya di rumah mereka di Kampung Terusan, Kota Bharu hari ini.-UTUSAN/ ROHANA MOHD NAWI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Selepas si bapa hilang punca pendapatan sebagai penjaja barang mainan di pasar tani pada Mac lalu, kehidupan tujuh sekeluarga dari Kampung Terusan, Limbat, di sini bertukar menjadi sangat daif.

Kemiskinan hidup memaksa Shamsuddin Mohd. Ali, 40, dan isteri, Rabiah Abdul Manaf, 40, bersama lima anak berusia 6 hingga 13 tahun menikmati nasi kosong berlauk budu atau kicap sebagai menu harian.

“Kesusahan hidup kami bermula apabila saya terpaksa berhenti berniaga selepas pasar tani tidak dibenarkan beroperasi sebaik sahaja Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan bermula Mac. Walaupun PKP ditamatkan, pasar tani masih tidak boleh beroperasi.

“Bagi mendapatkan wang, saya mengutip barang terbuang dan lusuh di sekitar kampung dan kini cuba bela ikan keli pula. Alhamdulillah selepas berjaya menjualnya, dapatlah dalam RM70 seminggu atau sekitar RM300 sebulan.

“Dapat wang, saya akan membeli beras dan lauk untuk dimakan bagi tempoh seminggu. Tapi lauk habis tak sampai seminggu. Mahu tak mahu, terpaksalah isteri sediakan nasi kosong untuk kami makan dengan budu atau kicap,” katanya ketika ditemui pemberita, di sini hari ini,

Tujuh sekeluarga itu kini tinggal di rumah pusaka arwah bapa Shamsuddin yang serba daif dengan bumbungnya bocor dan berlubang-lubang.

Lebih menyedihkan, setiap kali hujan lebat turun, mereka bertujuh terpaksa lari berlindung di bawah rumah bagi mengelak basah kuyup ditimpa hujan.

“Saya tidak ada wang untuk membaiki bumbung. Saya tidak tahu saluran untuk mengadu masalah ini dan setakat ini, kami sekeluarga tidak pernah menerima apa-apa bantuan dari mana-mana pihak.

Shamsuddin berkata, baru-baru ini dia ada memohon bantuan daripada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tetapi belum diluluskan.

“Paling saya risaukan sekarang, anak-anak akan mula bersekolah tidak lama lagi tetapi saya masih tidak ada wang yang mencukupi untuk membeli kelengkapan dan membayar yuran,” keluhnya.

Orang ramai yang ingin memberi sumbangan boleh menyalurkan ke akaun Bank Islam 13017020415957 dengan nama Shamsuddin Mohd.Ali  atau boleh menghubunginya sendiri  menerusi talian 0172823349. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya