KUALA LUMPUR: Kerajaan masih belum membuat sebarang keputusan termasuk persediaan penerokaan dan pengeluaran unsur nadir bumi (REE ) di Kedah atau ditempat lain walaupun sedang merangka prosedur operasi standard (SOP).
Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, kerajaan menerusi Majlis Tanah Negara (MTN) juga belum membuat apa-apa perbicangan berhubung penerokaan dan pengeluaran unsur terbabit.
“Majlis Mineral Negara (MNN) yang diaktifkan semula akan menilai SOP ini dan akan dibincang bersama kerajaan negeri dan kementerian berkaitan.
“Pengeluaran permit dibuat di bawah kuasa kerajaan negeri. Namun penetapan dan penentuan syarat akan dibentuk secara bersama membabitkan kerjasama agensi di peringkat Pusat dan negeri supaya syarat dapat dipatuhi,” katanya dalam Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Fuziah Salleh (PH-Kuantan) yang meminta penjelasan sama ada Majlis Tanah Negara melakukan penelitian berhubung kebenaran penerokaan dan pengeluaran REE di Kedah dan di tempat lain dalam negara. – UTUSAN