Muhammad Syafiq mungkin terlelap sebelum kemalangan - Utusan Malaysia

Muhammad Syafiq mungkin terlelap sebelum kemalangan

KEADAAN kenderaan pelbagai guna jenis Toyota Vellfire yang remuk teruk selepas terbabas dan merempuh pembahagi jalan di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) Sungai Bakap, Pulau Pinang awal pagi tadi yang menyebabkan tiga maut manakala tiga lagi cedera.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NIBONG TEBAL: Pemain skuad kebangsaan, Muhammad Syafiq Ahmad, 25, yang memandu kenderaan jenis Toyota Vellfire dipercayai terlelap ketika memandu sehingga terbabit dalam kemalangan di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dekat Sungai Bakap, di sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Lee Chong Chern berkata, siasatan pihaknya mendapati kemalangan berpunca kerana pemandu dipercayai tertidur dan hilang kawalan.

“MPV itu telah melanggar pembahagi jalan sebelah kanan sebelum terbalik dan terseret hingga kira-kira 30 meter berdasarkan kesan calar di atas jalan raya,” katanya kepada pemberita di sini malam ini.

Kemalangan kira-kira pukul 4 pagi tadi itu menyebabkan bayi lelaki penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT) berkenaan,  Muhammad Aisy Saqeef yang baru berusia 22 hari; ibu mentuanya, Zainan Wahab, 45, dan pembantu rumah mereka iaitu wanita warga Indonesia, Titik Sukamti, 30-an maut.

Muhammad Syafiq dan isterinya yang sedang berpantang, Nur Amalina Norain, 25, serta seorang lagi anak perempuan mereka, 2, turut cedera dan dikejarkan ke Hospital Seberang Jaya di sini.

Menurutnya Chong Chern, Nur Amalina mengalami kecederaan patah tulang rusuk, pendarahan dalam perut dan otak serta patah tulang paha kiri.

“Bedah siasat ke atas ketiga-tiga mangsa di Hospital Sungai Bakap mendapati punca kematian akibat kecederaan parah pada beberapa bahagian badan dan kepala,” katanya.

Beliau berkata, polis turut mengambil sampel darah Muhammad Syafiq bagi siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN