Muhammad Syafiq diberi masa pulih sepenuhnya - Utusan Malaysia

Muhammad Syafiq diberi masa pulih sepenuhnya

TAN Cheng Hoe (kiri) memberikan semangat dan menenangkan Muhammad Syafiq Ahmad (tengah) yang kehilangan bayi lelakinya yang berumur 22 hari ketika terlibat dalam kemalangan awal pagi ini di Sungai Bakap, Pulau Pinang. - UTUSAN/AMIR IRSYAD OMAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI BAKAP: Jurulatih skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe memberikan sebanyak mana masa yang diperlukan pemain kebangsaan, Muhammad Syafiq Ahmad, 25, untuk pulih secara mental dan fizikal ekoran kemalangan yang melibatkannya pagi tadi.

Sambil menzahirkan ucapan takziah kepada Muhammad Syafiq dan keluarga, Cheng Hoe berkata, beliau memahami situasi yang dihadapi penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT) itu memandangkan bukan mudah berdepan dengan dugaan kehilangan dua orang tersayang.

“Beliau boleh mengambil berapa lama masa yang diperlukan untuk kembali pulih sama ada mental dan fizikal, malah kita akan sentiasa memberi semangat selain sokongan ahli keluarga, rakan-rakan pasukan dan penyokong yang setia bersama selama ini.

“Kita sedar, memang bukan mudah untuk kehidupannya kembali seperti biasa, namun kami semua mendoakan yang terbaik buatnya,” katanya.

Beliau ditemui pemberita ketika menziarahi dan memberikan kata-kata semangat kepada Muhammad Syafiq di pekarangan Unit Forensik, Hospital Sungai Bakap (HSB) di sini kira-kira pukul 1.30 petang tadi.

Menurut Cheng Hoe, Muhammad Syafiq ketika ini tidak terikat dengan sebarang latihan bersama skuad negara memandangkan perlu memberi tumpuan kepada perlawanan Piala Malaysia.

“Kalau diikutkan jadual asal, sepatutnya pasukan kebangsaan ada latihan selepas Piala Malaysia, tetapi sebab sudah batal, maka tiada latihan dijadualkan setakat ini,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi tadi, tiga terbunuh, manakala tiga lagi termasuk Mohammad Syafiq cedera selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyoya Vellfire dipandunya terbabas di kilometer 163.6 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara dekat Sungai Bakap, Nibong Tebal di sini.

Antara yang maut, bayi Muhammad Syafiq yang berusia 22 hari, Muhammad Aisy Saqeef, ibu mentuanya, Zainan Wahab, 45, dan wanita warga Indonesia, Titik Sukamti, 30-an.

Muhammad Syafiq dan isteri yang sedang berpantang, Nur Amalina Norain, 25, dan anak perempuannya berusia 2 tahun, Aaira Nur Saffiyya cedera dan dikejarkan ke Hospital Seberang Jaya di sini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya