SEREMBAN: “Saya akan gunakan motosikal pemberian Baitulmal ini dengan sebaiknya, kini ia menjadi harapan saya untuk mencari pendapatan, penyambung kudrat saya yang ada bagi memberi nafkah kepada isteri dan anak-anak, terima kasih kepada semua pembayar zakat sehingga saya dapat dibantu,”
Demikian luahan lelaki orang kurang upaya (OKU), Mohamed Yusly Mohamed Yusof, 41, yang baru-baru ini menerima bantuan sebuah motosikal roda tiga daripada pihak Perbadanan Baitulmal Majlis Agama Islam Negeri Sembilan.
Menurut Mohamed Yusly, dengan bantuan motosikal yang diterimanya itu, dia bercadang untuk kembali meneruskan jualan keropok lekor yang dilakukannya sebelum ini selain produk-produk makanan lain.
Jelasnya, semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula lalu, dia menjalankan jualan keropok lekor yang diperoleh dari Terengganu secara dalam talian dan mendapat sambutan amat menggalakkan dari penduduk sekitar Senawang dan Sungai Gadut.
Namun, ujarnya, sebaik sahaja Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), perniagaannya kurang mendapat sambutan sehingga tiada lagi jualan dapat dilakukan.
“Jadi pada masa itulah, saya terfikir perlu ambil cara lain iaitu dengan pergi kepada pembeli, iaitu dari satu taman perumahan ke taman perumahan yang lain selain pergi tempat tumpuan orang ramai.
“Namun, untuk itu saya memerlukan sebuah motosikal yang sesuai dengan keadaan saya yang OKU ini, jadi saya buat permohonan dengan Baitulmal dan alhamdulillah, baru-baru ini permohonan saya diluluskan dan saya diberikan motosikal ini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Seremban Jaya dekat sini semalam.
Jelas Mohamed Yusly, dia mengakui dengan hanya menggunakan motosikal roda tiga sahaja yang dapat membantunya mudah bergerak sekali gus keluar mencari pendapatan bagi menampung kos kehidupan keluarga termasuk dua orang anak yang masing-masing berusia sembilan dan tujuh tahun.
Tambahnya, keadaan diri yang kurang upaya daripada segi fizikal menghalangnya untuk mendapat pekerjaan lain apatah lagi untuk melakukan kerja-kerja berat.
“Saya memang ada penyakit gout yang serius, pada bulan April tahun lalu, terdapat jangkitan kuman pada lutut kiri dan doktor memberitahu ia kesan daripada penyakit saya itu, lutut kiri saya bernanah dan sejak daripada itu saya tidak boleh bekerja,” katanya yang pernah bekerja sebagai penjual kasut kesihatan.
Menurut Mohamed Yusly, ketika ini dia hanya bergantung dengan bantuan sebanyak RM250 daripada pihak Baitulmal setiap sebulan dengan tambahan RM50 bagi bantuan makanan.
“Sebelum ini saya ada terima bantuan pesakit terlantar sebanyak RM350 daripada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), namun kini saya tidak terima lagi bantuan tersebut. Saya ada memohon bantuan untuk OKU di JKM Port Dickson namun permohonan saya itu ditolak.
“Saya memang sudah tidak boleh bekerja lagi, kaki saya sudah tidak lagi kuat, akibat gout juga kedua-dua jari tangan saya juga membengkak, jadi saya harap pihak JKM dapat mempertimbangkan semula permohonan saya itu,” katanya yang masih menerima rawatan pakar secara berkala di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban kerana penyakitnya itu.
Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menyalurkannya menerusi akaun bernombor 105121028751 (Maybank) atas nama Mohamed Yusly Mohamed Yusof atau menghubunginya di talian 018-3854513. – UTUSAN