Model ladang buluh dibangunkan Januari 2021 - Utusan Malaysia

Model ladang buluh dibangunkan Januari 2021

MOHD. KHAIRUDDIN Aman Razali (tiga dari kiri) bersama Ahmad Samsuri Mokhtar (tiga dari kanan) selepas menyaksikan permeteraian memorandum perjanjian (MoA) projek Model Ladang Buluh di TTITC di Kampung Teris, Hulu Terengganu hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU TERENGGANU: Projek model ladang buluh pertama di Malaysia di Kampung Teris di sini yang dibangunkan dengan kos sebanyak RM5 juta akan dilaksanakan pada Januari 2021.

Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, ladang yang dibangunkan di tanah milik Pusat Latihan Industri Perkayuan Terengganu (TTITC) seluas 15 hektar itu bakal menjadi pusat rujukan semua pihak di samping berpotensi sebagai pusat eko-pelancongan buluh di Malaysia. 

Katanya, buat permulaan lima spesis buluh akan ditanam iaitu betung, beting, beti, semantan dan hitam. 

“Jika pembangunan ladang buluh dapat diusahakan dan diuruskan secara mampan, ia mampu menjadi salah satu sumber pendapatan baharu kepada pertumbuhan ekonomi negara. 

“Melalui penubuhan model buluh ini kita bukan sahaja dapat menghasilkan sumber pokok induk yang berkualiti, bahkan menjamin ketersediaan bahan mentah bagi kegunaan pihak industri buluh di samping sebagai sumber alternatif kayu di Malaysia,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyaksikan permeteraian memorandum perjanjian (MoA) projek Model Ladang Buluh di TTITC hari ini.

Yang hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar;  Timbalan Ketua Setiausaha (Perladangan & Komoditi) Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Mad Zaidi Mohd. Karli; Pengerusi TTITC, Muhyidin Abdul Rashid di samping Ketua Pengarah Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB), Mohd. Kheiruddin Mohd. Rani. 

Mohd. Khairuddin yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus berkata, buluh memiliki tempoh matang singkat antara empat ke lima tahun berbanding tempoh matang pokok kayu yang sekurang-kurangnya 15 tahun. 

Dalam perkembangan sama, katanya, kerajaan menawarkan pinjaman mudah sebanyak RM500 juta kepada pihak industri, koperasi dan agensi yang berminat  mengusahakan penanaman buluh secara komersial. 

“Bagi setiap satu hektar, pengusaha dijangka boleh mendapat hasil sehingga RM36,000 selepas tempoh matang empat tahun,” katanya.  -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya