PUTRAJAYA: Sejumlah 33,272 unit minyak wangi tiruan pelbagai jenama dirampas dengan nilai anggaran RM1.76 juta dalam satu serbuan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, kelmarin.
Pengarah Bahagian Penguat Kuasa kementerian, Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata, hasil risikan selama dua bulan membongkar kegiatan itu di sebuah bangunan di Jalan Lima, off Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur.
Kata beliau, seramai 11 pegawai penguat kuasa menyerbu bangunan itu dan mendapati enam premis yang disewa seorang individu dijadikan tempat penyimpanan stok-stok minyak wangi tiruan pelbagai jenama.
“Semasa serbuan, kerja-kerja pembungkusan minyak wangi ke dalam kotak berjenama bagi tujuan pengedaran sedang dijalankan pekerja di dalam premis tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, seorang wanita dan seorang lelaki masing-masing berusia 37 tahun dan 43 tahun yang mengaku bertanggungjawab ditahan bagi membantu siasatan.
Katanya, pelbagai jenama minyak wangi seperti Burberry, Gucci, Victoria Secret, Tommy, DKNY, Jo Malone dan Michael Kors menggunakan cap dagangan berdaftar dipakaikan dengan salah.
“Kes disiasat dibawah seksyen 102 (1) (c) Akta Cap Dagangan 2019 iaitu mempunyai dalam milikan bagi maksud perdagangan barang-barang yang suatu cap dagangan berdaftar dipakaikan dengan salah,” katanya. – UTUSAN ONLINE