BUTTERWORTH: Sindiket Macau Scam kini menukar modus operandi dengan rancangan lebih meyakinkan iaitu ‘menyamar menjadi anak mangsa’ kononnya sedang ditahan polis atas kesalahan jenayah.
Taktik itu ternyata memperdaya mangsanya selepas seorang suri rumah berusia 66 tahun di sini kerugian RM30,000 ditipu sindiket tersebut yang menyamar sebagai anak lelakinya.
Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor, dalam kejadian semalam, mangsa pada mulanya menerima panggilan telefon yang mendakwa kononnya polis dan memaklumkan anaknya ditahan atas kesalahan mengedar dadah.
Tambah beliau, ekoran itu mangsa diminta membayar wang jaminan sebanyak RM80,000 bagi membebaskan anaknya yang ketika itu tidak ada di rumah kerana keluar bekerja.
Bagi meyakinkan mangsa katanya, panggilan itu turut disambung kepada seorang individu yang menyamar sebagai anaknya yang merayu supaya dia dibebaskan serta mangsa membuat bayaran seperti diminta.
Jelas beliau, disebabkan terlalu terkejut dan bimbang dengan keadaan ‘anaknya’ itu, mangsa kemudiannya memindahkan RM30,000 menerusi satu transaksi ke dalam akaun yang diberikan suspek.
“Kerana terlalu panik juga, mangsa tidak menghubungi anak yang dimaksudkan sindiket itu yang tinggal bersamanya tetapi ketika kejadian keluar bekerja. Dia hanya mengetahui ditipu sindiket itu selepas bertanyakan perkara tersebut kepada anaknya ketika pulang ke rumah selepas habis bekerja,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurut Noorzainy, mangsa kemudiannya membuat laporan polis selepas menyedari ditipu dan semakan juga mendapati anak mangsa tidak pernah terlibat dalam jenayah berkaitan dadah.
Tambahnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE