Bagi mereka yang peka dan mereka yang bersedia, krisis merupakan masa yang paling sesuai untuk mencapai peluang yang wujud atau tercipta kerana krisis yang melanda. Beza antara mereka yang berjaya dan mereka yang mencapai kecemerlangan adalah mereka yang sanggup meredah laut yang sedang bergelora.
Wabak Covid-19 bukan wabak pertama yang melanda dunia dan sudah tentu bukan yang terakhir. Maka bukankah sudah menjadi kewajipan semua kerajaan yang bertanggungjawab untuk sedia menghadapi apa yang kini dianggap sebagai norma baharu?
Kita bukan sahaja sedang menghadapi krisis wabak pandemik tetapi juga sedang menghadapi krisis ekonomi global. Ada banyak yang kita boleh belajar dari sejarah, dari negara-negara yang telah bangkit selepas sesuatu krisis. Kita selalunya belajar dari sejarah agar tidak mengulangi kesilapan orang lain.
Pada abad ke 19, Jepun melancarkan satu dasar pemodenan dengan slogan fukoku kyōhei yang membawa maksud “mengkayakan negara menguatkan ketenteraan” supaya negaranya dapat menandingi kuasa Barat pada masa itu. Perang Dunia Kedua telah meruntuhkan kejayaan dasar pemodenan Jepun dan ekonomi negaranya jatuh ke paras sebelum abad ke 19.
Namun ini tidak melemahkan semangat warga Jepun malah kembali menyengat. Sekali lagi Jepun mula mencabar negara-negara kuasa Barat. Pada tahun 1973, KDNK Jepun perkapita berada pada paras 95% negara Britain dan 69% paras Amerika Syarikat. Bermula tahun 1991, tahun terakhir bubble economy— KDNK Jepun berada pada paras 120% berbanding Britain dan 85% berbanding Amerika Syarikat.
Walaupun Perang Dunia Kedua sedikit menghalang proses pertandingan ekonomi dengan kuasa Barat, jurang antara Jepun dengan negara Barat hampir lenyap.
Malaysia kini di persimpangan jalan, mencorak masa depan acuan sendiri atau diheret dicucuk hidung bagaikan lembu oleh badan-badan penarafan seperti Fitch, badan dikuasai Barat seperti World Bank atau IMF. Dengan izin We can lead or we can follow. Badan-badan ini setentunya mempunyai agenda mereka tersendiri, jadi walaupun mereka memainkan peranan yang penting, tidak semestinya kita perlu sentiasa mengikut sahaja, krisis ekonomi 1987 membuktikan Malaysia mampu mencorak masa depan sendiri dengan membuat keputusan yang out of the box.
Kementerian Sumber Manusia melalui agensinya, Pembangunan Sumber Manusia Berhad atau HRDF sudah mula mencorak langkah di bawah kepimpinan Menterinya Yang Berhormat Datuk Seri M. Saravanan.
HRDF sentiasa mencari penyelesaian out of the box kepada masalah-masalah yang dihadapi negara berpandukan rangka mencari peluang dalam krisis. Pertamanya HRDF menumpu perhatian kepada memastikan pekerja yang ada kerja tidak hilang kerja, HRDF memastikan dana dari kerajaan melalui Inisiatif PENJANA HRDF, ilham Yang Amat Berhormat Tan Sri Muhyiddin Yassin, Perdana Menteri Malaysia diguna sebaik mungkin untuk memastikan pekerja rakyat Malaysia diberi latihan kemahiran terkini dalam bidang “Industrial Revolution 4.0” supaya mereka dapat memacu kejayaan dan syarikat mereka kekal relevan dalam dunia pasca Covid-19.
Keduanya, HRDF sedang melatih generasi perkeranian sambilan atau GIG supaya dapat menawarkan kemahiran mereka kepada dunia melalui platform talent sharing yang sedang dibangunkan. Melalui platform ini pekerja Malaysia dapat menawarkan bakat dan kemahiran mereka kepada dunia secara maya.
Ketiganya, HRDF telah dipilih untuk membangunkan satu portal sehenti untuk semua latihan serta tawaran kerja untuk rakyat Malaysia bernama UpskillMalaysia.
Keempat, HRDF akan melancarkan satu badan pemikir bernama National Human Resource Centre atau NHRC yang bertaraf antarabangsa di mana keahlian mereka terdiri dari pakar-pakar pembangunan modal insan tempatan dan antarabangsa. Dijangka tidak lama lagi NHRC akan merupakan badan pertama di dunia untuk menawarkan persijilan dual certification untuk warga pekerja sumber manusia. NHRC dalam proses bekerjasama dengan badan paling ke depan dan berprestij dalam dunia untuk menawarkan pensijilan ini.
Kelima, setakat ini HRDF telah berjaya mendapat tawaran pekerjaan untuk 41,000 rakyat Malaysia, di mana 16,000 orang telah ditempatkan di tempat kerja baharu dan selebihnya sedang menanti untuk latihan peningkatan kemahiran sebelum penempatan pekerjaan.
Melalui Skim Penempatan dan Latihan, para Penyedia Latihan bekerjasama dengan 2,240 majikan dalam memastikan keperluan tenaga kerja syarikat dan merangka latihan yang diperlukan supaya majikan dapat menawarkan pekerjaan.
Semua ini telah dicapai dalam hanya dua bulan sahaja. Bagaimana ianya boleh dicapai? Ini kerana HRDF mempunyai 4,000 Penyedia Latihan berdaftar di mana hampir separuh daripadanya terlibat dalam Inisiatif PENJANA HRDF.
Walau bagaimanapun, ini hanyalah permulaan, HRDF sedang merangka berbagai program untuk mencorak landskap pembangunan sumber manusia negara untuk masa hadapan, bermula dengan sebuah pelan induk dan melaksanakan dasar-dasar dan keperluan modal insan yang kritikal untuk menarik pelabur antarabangsa ke Malaysia.
Penulis ialah Ariff Farhan Doss
Ketua Strategi
Pembangunan Sumber Manusia Berhad