Melaka tidak pernah warta pengiktirafan UEC - Utusan Malaysia

Melaka tidak pernah warta pengiktirafan UEC

NOOR Effandi Ahmad
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) yang sebelum ini dicadangkan untuk diiktiraf oleh kerajaan negeri Pakatan Harapan (PH) pada 2018 tidak pernah diwartakan untuk kelulusan.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknikal dan Vokasional, Sains dan Inovasi negeri, Datuk Noor Effandi Ahmad berkata, pentadbiran di Melaka masih tertakluk kepada peraturan dan pekeliling semasa mengikut kerajaan pusat bagi lantikan penjawat awam di negeri ini.

Menurut beliau, kerajaan negeri melalui bahagian Pusat Sumber Manusia tidak mengiktiraf UEC memandangkan kerajaan tidak pernah mengubah pekeliling sedia ada selain ia tidak pernah diwartakan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

“Apa yang berlaku ketika pentadbiran kerajaan terdahulu, Ketua Menteri ketika itu (Adly Zahari) memaklumkan bahawa kerajaan membuka peluang untuk menerima mereka yang mempunyai sijil UEC berkhidmat di Melaka tetapi ia tidak pernah dibawa ke Mesyuarat MMKN.

“Maknanya, ia hanya diisytihar dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Julai 2018 tanpa sebarang tindakan susulan oleh pihak kerajaan negeri,” katanya.

Noor Effandi (Bersatu-Telok Mas) berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Datuk Md. Rawi Mahmud (BN-Tanjung Bidara) yang bertanyakan sejauh mana pengiktirafan kelulusan UEC oleh kerajaan negeri telah diguna pakai pada Persidangan Ketiga (Bajet) Penggal Ketiga DUN Melaka Ke-14, di Seri Negeri, di sini hari ini.

Tambah beliau, kerajaan PH ketika itu hanya menggunakan khidmat seorang lepasan UEC untuk menerajui sebuah agensi di negeri ini iaitu sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bioteknologi Melaka.

“Bagaimanapun, kontrak beliau telah tamat pada April lalu dan sehingga kini tiada pengambilan kakitangan kerajaan negeri Melaka dibuat menerusi kelulusan UEC sejak 2018 hingga kini,” katanya.

Pada Ogos 2018, Adly berkata, keputusan mengiktiraf UEC dibuat bagi membela semua nasib anak Melaka tanpa mengira kaum untuk bersama-sama menikmati arus pembangunan negeri selaras manifesto PH Melaka pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

Kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Katil itu, bukan saja diiktiraf di Melaka, UEC turut diiktiraf universiti terbaik dunia antaranya dari Amerika Syarikat, United Kingdom, Singapura, Ireland, New Zealand, Jepun dan Australia. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN