MELAKA: Kerajaan negeri mencadangkan potongan gaji sebanyak 10 peratus yang diterima Ketua Menteri serta sembilan Exco selama 12 bulan bermula Januari tahun ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali berkata, potongan sehingga Disember 2021 berkenaan akan ditolak dan disalurkan ke dalam Tabung Bencana Negeri Melaka bagi membantu golongan terjejas dalam tempoh pandemik Covid-19.
“Saya merasai keperitan yang dihadapi rakyat Melaka dan sebagai tanda prihatin kami, saya dan barisan Exco kerajaan negeri lain bersepakat dan bersetuju untuk memotong gaji bulanan sebanyak 10 peratus selama setahun demi membantu rakyat yang terkesan dengan wabak itu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Melaka 2021 dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Seri Negeri, di sini hari ini.
Sementara itu, Sulaiman turut mengumumkan bantuan khas kewangan kepada kira-kira 5,000 orang penjawat awam negeri yang bersamaan setengah bulan gaji atau minimum RM1,000 yang akan dibayar secara dua peringkat iaitu pada bulan ini dan Januari depan.
Menurutnya, insentif yang ditawarkan itu sebagai kesetiaan golongan terbabit menerusi tonggak 5K iaitu Komunikasi; Kolaborasi; Koordinasi; Kompetensi dan Kongsi Matlamat Bersama yang menjadi pengangan penjawat awam di Melaka.
“Bagi memperhebat kecekapan itu, kerajaan negeri memberi peruntukan tersebut sebagai penghargaan buat golongan ini selain untuk mereka mengikuti kursus profesional jangka pendek dengan badan-badan latihan diiktiraf.
“Kepada mereka juga saya nak ‘kabau’ (khabar) sikit, janganlah ‘kahau’ (cakap kasar) layan rakyat Melaka, tak usah masam-masam muko (muka) kerana, ‘nan diseru nan dipinta, nan ditunggu sudah pun tiba,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan insentif kepada rakyat Melaka berjumlah kira-kira RM55 juta termasuk dalam bentuk pengecualian cukai dan lesen, bantuan ‘one-off’ dan bayaran sagu hati terutamanya kepada golongan nelayan dan pengayuh beca.
“Selain itu, kerajaan negeri juga bersetuju untuk memberikan RM150 kepada ibu-ibu yang melahirkan anak mereka pada hari ini bermula sejak pukul 12 tengah malam tadi sehingga pukul 11.59 malam ini.
“Selain bayi yang lahir hari ini, kita juga akan meneruskan pemberian kepada semua bayi yang lahir di negeri ini melalui Akaun SSPN-i berjumlah RM50,” katanya. -UTUSAN ONLINE