Melaka cadang PKPD di Pusat Koreksional Jasin elak penularan

Melaka cadang PKPD di Pusat Koreksional Jasin elak penularan

SULAIMAN MD. ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kerajaan negeri akan mencadangkan supaya Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksanakan di Pusat Koreksional Jasin (PKJ) yang merekodkan peningkatan mendadak kes positif Covid-19 dalam masa singkat.

Ia berikutan sebanyak 98 kes baharu dalam kalangan banduan di PKJ direkodkan semalam yang menjadikan jumlah keseluruhan kes daripada institusi itu adalah seramai 133 orang dengan 110 daripadanya warganegara.

Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali berkata, cadangan PKPD tersebut bertujuan untuk menjalankan saringan kontak rapat secara menyeluruh, kuarantin kontak rapat secara berpusat dan untuk tindakan kawalan serta pencegahan bagi mengelak penularan dalam kalangan kakitangan dan komuniti.

“Pada masa ini, PKJ dijadikan pusat transit bagi kemasukan banduan baharu khususnya banduan lelaki di negeri ini selain Pusat Transit Tahanan A Famosa. Sehingga kelmarin seramai 1,732 banduan baharu dimasukkan ke penjara di negeri ini.

“Justeru, kita juga mengambil langkah menangguh serta-merta kemasukan banduan baharu ke semua penjara transit di Melaka,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini.

Sehubungan itu, Sulaiman berkata, Penjara Sungai Udang dan PKJ sendiri telah diaktifkan sebagai Pusat Kuarantin Berisiko Rendah (PKRC) Covid-19 bagi tujuan merawat kes yang berisiko rendah.

Mengulas lanjut beliau berkata, 57 daripada 133 pesakit dalam kalangan banduan itu telah dimasukkan ke Hospital Melaka, manakala selebihnya dirawat di kedua-dua PKRC berkenaan.

“Walaupun terdapat peningkatan kes di PKJ, namun penularan ini adalah terkawal kerana berlaku dalam kalangan banduan sahaja dan tidak merebak ke dalam komuniti,” katanya.

Sehingga petang semalam, Melaka mencatatkan 551 kes keseluruhan dengan 152 kes aktif serta melibatkan lima kematian sejak wabak Covid-19 melanda negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya