MELAKA: Sejak tahun 2005, kerajaan negeri hari ini membentangkan Belanjawan Negeri 2021 berjumlah RM445.86 juta dengan hasil negeri dianggarkan RM445.96 juta yang mencatatkan lebihan kali ke-17 berturut-turut.
Bertemakan ‘Melaka Rumahku: Merangka Ekonomi, Membahagiakan Rakyat, Menggamit Dunia’ belanjawan surplus tersebut mencatatkan peningkatan sebanyak RM55.96 juta atau 14.32 peratus berbanding RM390.22 juta pada 2020.
Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali berkata, sebanyak RM75 juta diperuntukkan bagi perbelanjaan pembangunan yang mencatatkan peningkatan sebanyak RM5 juta berbanding tahun lalu.
“Daripada jumlah itu, RM53.74 juta merupakan sumber perbelanjaan daripada hasil negeri sendiri manakala sebanyak RM21.26 juta merupakan pemberian Geran Tahap oleh kerajaan Persekutuan.
“Belanjawan itu juga merangkumi perbelanjaan bekalan RM436.38 juta atau 98 peratus daripada belanja keseluruhan iaitu RM177.54 juta untuk perkhidmatan dan bekalan; RM142.20 juta (pemberian dan kenaan bayaran tetap); RM111.87 juta (emolumen); RM3.97 juta (aset) dan RM0.59 juta (perbelanjan lain).
Kata Sulaiman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu ketika membentangkan Belanjawan Melaka 2021 dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini hari ini.
Beliau berkata, kutipan hasil 2021 pula dijangka diperoleh sebanyak RM155.79 juta, manakala hasil bukan cukai pula dianggarkan berjumlah RM272.28 juta.
“Selain itu, RM17.89 juta lagi merupakan terimaan bukan hasil daripada pemberian kerajaan Persekutuan dan bayaran balik pinjaman agensi-agensi kerajaan negeri.
Sementara itu, kata Sulaiman, kerajaan negeri juga berjaya mengurangkan jumlah hutang kira-kira RM178.39 juta kepada kerajaan Persekutuan iaitu pengurangan sebanyak 21.71 peratus daripada RM821.63 juta pada 2019 kepada RM643.24 juta pada tahun ini. -UTUSAN ONLINE