JOHOR BAHRU : Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) menjangkakan hasil pendapatan bagi tahun depan diunjurkan berjumlah RM498.28 juta.
Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Adib Azhari Daud berkata, anggaran pendapatan itu berdasarkan kutipan hasil cukai berjumlah RM340.25 juta dan bukan cukai RM119.16 juta.
Jelasnya, pendapatan tersebut termasuk terimaan bukan hasil sebanyak RM38.86 juta.
“Bagi perbelanjaan mengurus merangkumi pembayaran emolumen, perbelanjaan perkhidmatan dan bekalan, pemilikan harta modal, pemberian dan kenaan bayaran tetap serta lain-lain perbelanjaan berjumlah RM265.35 juta.
“Anggaran Perbelanjaan Pembangunan pada 2021 pula diperuntukkan RM241.31 juta,” katanya semasa berucap dalam Mesyuarat Penuh MBJB di Ibu Pejabat MBJB di sini hari ini.
Adib berkata, jumlah itu menjadikan keseluruhan anggaran perbelanjaan bagi tahun depan adalah sebanyak RM506.66 juta.
Katanya, belanjawan MBJB pada 2021 adalah belanjawan defisit iaitu sebanyak RM8.29 juta.
“Belanjawan MBJB 2021 dirangka dengan mengambil kira aspek pembangunan semula ekonomi yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.
“Ini dibuktikan melalui jumlah peratus yang tinggi diperuntukkan bagi tujuan perbelanjaan pembangunan secara langsung dan tidak langsung dapat membantu kelangsungan kitaran ekonomi,” katanya.
Beliau berkata, tujuannya juga bagi memastikan segala perkhidmatan dan pembangunan yang dirancang dapat dilaksanakan demi kepentingan warga bandar raya Johor Bahru.
Tambahnya, MBJB sudah mewartakan untuk memasang Sistem Pemantauan Kualiti Udara iaitu PM10 dan PM2.5 di beberapa kawasan perindustrian yang juga berdekatan dengan kawasan perumahan sedia ada bagi penjagaan kesihatan dan keselamatan warga bandar raya ini.
Katanya, pemasangan sistem ini adalah langkah pencegahan awal pintar yang dapat mengesan kewujudan bahan-bahan terampai halus di udara di peringkat awal tanpa menjejaskan kesihatan penduduk.
“MBJB turut mencadangkan pemasangan sistem ini di kawasan pusat bandar berhampiran dengan pusat imigresen dan kuarantin (CIQ).
“Hal ini kerana kadar kemasukan kenderaan keluar masuk di pintu antarabangsa paling selatan di Malaysia terlalu tinggi dan menggunakan masa yang lama sebelum memasuki negara jiran,” katanya. – UTUSAN