MB Perak bentuk kerajaan dengan lima exco - Utusan Malaysia

MB Perak bentuk kerajaan dengan lima exco

Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KANGSAR: Menteri Besar Perak yang baharu, Datuk Saarani Mohamad akan menubuhkan kerajaan negeri dengan melantik lima ahli mesyuarat kerajaan negeri atau exco.

Menurutnya, perkara itu selaras dengan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri bahawa kerajaan perlu ditubuhkan sekurang-kurangnya seorang menteri besar dan empat exco. 

Beliau berkata, ia merupakan langkah awal penubuhan kerajaan negeri berikutan kesuntukan masa bagi tujuan membentangkan Belanjawan negeri 2021 pada Rabu depan.

“Saya telah menyembah maklum kepada Sultan Perak untuk mencadangkan lima nama exco untuk diperkenankan oleh baginda.

“Saya juga memohon supaya lima nama itu dapat segera diadakan majlis angkat sumpah untuk membolehkan saya memanggil mesyuarat exco yang pertama, seterusnya meneliti dan meluluskan buku bajet yang akan dibentangkan pada Rabu depan. 

“Baginda telah menerima perkenan dan menitahkan agar istiadat pelantikan dan angkat sumpah exco diadakan pada pukul 2.30 petang ini,” katanya dalam sidang akhbar di Dewan Jubli Perak di sini hari ini.

Sidang akhbar berkenaan diadakan selepas Saarani mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar di Istana Iskandariah di sini hari ini.

Saarani bagaimanapun enggan mendedahkan nama lima bakal exco yang akan mengangkat sumpah hari ini.

“Setelah majlis angkat sumpah (petang ini), baru kita tahu siapa (exco yang dilantik),” katanya. 

Menurut Saarani, beliau tidak bercadang untuk meminda Belanjawan negeri kerana kesuntukan masa.

“Buku bajet berkenaan telah dirangka dan dibincangkan bersama sebahagian daripada exco yang lama termasuk saya, saya faham dan tahu apa yang terkandung.

“Bermakna kita tidak akan mengubah apa-apa terkandungnya, hanya secara formaliti, Insya-Allah kita akan meluluskannya di peringkat exco untuk dibawa dalam sidang DUN,” katanya.

Belanjawan negeri 2021 sepatutnya dibentangkan dan dibahaskan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bermula pada Jumaat lalu.

Namun, persidangan DUN terpaksa ditangguhkan berikutan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu gagal mendapat majoriti sokongan dalam undi percaya terhadap beliau sebagai menteri besar.

Semalam, Speaker DUN Perak, Datuk Mohamad Zahir Abdul Khalid mengumumkan penangguhan persidangan DUN dan akan disambung pada 16 Disember ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya