SHAH ALAM: Mayat lelaki tanpa kepala yang ditemukan di sebuah banglo di Gombak, kelmarin disyaki seorang gelandangan.
Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaluddin berkata, pihaknya akan melakukan semakan identiti mangsa sama ada pernah dikaitkan dengan laporan hilang.
“Setakat ini, kita masih menunggu laporan bedah siasat sama ada wujud unsur dibunuh atau bunuh diri terhadap mangsa.
“Keadaan rumah tersebut yang terdedah dengan hujan juga telah menyukarkan pihak polis untuk mengesan bahan bukti termasuk cap jari di lokasi.
“Oleh demikian, kita meminta mana-mana saksi tampil ke depan bagi membantu siasatan,” katanya kepada pemberita berhubung penemuan mayat seorang lelaki tanpa kepala dalam keadaan tergantung di sebuah banglo lama di hutan Gombak Tengah Tambahan di sini semalam.
Terdahulu, Noor Azam hadir merasmikan Balai Polis Sri Muda, Seksyen 25 di sini hari ini yang turut dihadiri,Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed dan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib.
Mengulas mengenai perasmian balai polis baharu tersebut, Noor Azam berkata, balai tersebut beroperasi sebagai pondok polis sebelum dinaik taraf sebagai Balai Komuniti dan Balai Induk menggantikan Balai Polis Seksyen 15 pada 2012.
“Kita juga dalam perancangan untuk menambah jumlah petugas di Balai berkenaan seiring dengan pertambahan penduduk yang kini mencecah kira-kira 480,000 orang,” katanya. -UTUSAN ONLINE