Maut disondol babi hutan terlepas jerat pemburu  - Utusan Malaysia

Maut disondol babi hutan terlepas jerat pemburu 

KEADAAN mangsa yang disondol babi hutan dalam kejadian di kebun kelapa sawit di Tanah Hitam, Chemor di Ipoh semalam. - GAMBAR IHSAN PDRM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Lelaki warga emas maut diserang seekor babi hutan di kawasan kebun kelapa sawit di Tanah Hitam, Chemor di sini semalam.

Kejadian berlaku ketika mangsa,  Soo Chau, 71, ke kawasan tersebut untuk mencari cendawan sebelum diserang babi hutan menyebabkan mangsa maut di tempat kejadian.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintenden Mohamad Nordin Abdullah berkata, anggota polis dihantar ke tempat kejadian bagi menjalankan siasatan setelah menerima maklumat pada pukul 11.30 pagi.

Katanya, siasatan mendapati, mangsa yang masuk ke kawasan kebun seorang diri untuk mencari cendawan itu telah terserempak seekor babi hutan.

“Haiwan itu yang dipercayai terlepas dari jerat dipasang pemburu haram telah menyerang mangsa manakala seorang lelaki yang kebetulan melalui lokasi kejadian cuba memberi bantuan namun dia turut diserang haiwan tersebut.

“Selepas menyerang kedua-dua mangsa, haiwan tersebut telah lari ke kawasan semak berhampiran namun dawai yang terikat di kaki hadapan kanannya tersangkut antara akar pokok,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak yang dimaklumkan mengenai perkara itu telah datang ke lokasi kejadian dan menembak haiwan berkenaan.

Katanya, mangsa yang cedera parah maut di tempat kejadian manakala seorang lagi lelaki yang cuba membantu mengalami kecederaan.

“Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat manakala mangsa yang cedera dihantar ke hospital sama untuk rawatan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Perhilitan negeri, Yusoff Shariff berkata, pihaknya menerima maklumat pada pukul 12 tengah hari dan tiga anggota dihantar ke lokasi kejadian.

Katanya, anggota Perhilitan yang tiba mendapati haiwan itu masih berada berhampiran kawasan kejadian disebabkan kakinya tersangkut pada akar sebatang pokok.

“Orang ramai takut untuk menghampiri mangsa disebabkan haiwan itu masih ada di kawasan berhampiran.

“Anggota terpaksa melepaskan tembakan  ke arah haiwan itu bagi memastikan keselamatan awam ekoran keadaannya yang agresif,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya