ROMPIN: Peneroka Felda Keratong 7 maut selepas dihempap jengkaut di Jalan Ladang Felda Keratong 7, Muadzam Shah di sini semalam.
Ketua Polis daerah, Deputi Superintenden Azari Miskon berkata, kejadian kira-kira pukul 5 petang berlaku ketika mangsa, Abd. Hadi Ramlan, 65, dalam perjalanan dari rumahnya ke ladang Felda Keratong 7 bagi membantu sebuah lori yang tersekat dalam ladang Felda berkenaan.
“Apabila tiba di tempat kejadian jengkaut yang dipandu hilang kawalan sewaktu melalui jalan berbukit lalu terbalik ke sebelah kiri dan terus menghempap mangsa.
“Akibat kemalangan itu mangsa meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya di sini hari ini.
Menurut Azari, mangsa yang mengalami kecederaan di bahagian badan dihantar ke Hospital Muadzam Shah bagi proses bedah siasat selepas ujian saringan Covid-19 dijalankan.
Katanya, pihak polis sedang giat mengesan saksi kejadian dan turut mengambil sampel darah serta air kencing bagi tujuan toksikologi.
Jelasnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. -UTUSAN ONLINE