PASIR MAS : Institusi masjid yang merupakan rumah Allah SWT bukan sekadar tempat ibadat, malah, menjadi pusat kebajikan orang ramai, khususnya umat Islam apabila ditimpa musibah.
Pengurusan Masjid Al-Hanan Simpang Empat, Tendong di sini hari ini membuktikan perkara itu apabila tampil menghulurkan bantuan kepada anak mukimnya yang terjejas sejak pandemik Covid-19 menular di negara ini.
Imam 1 Masjid Al-Hanan, Ismail Ibrahim berkata, hari ini, sumbangan bantuan barangan makanan bernilai RM60 setiap satu diagihkan kepada 100 penerima yang layak.
Menurutnya, ini merupakan kali kedua pihak masjid tampil menghulurkan bantuan kepada anak mukim yang terjejas.
“Besar harapan kita agar sumbangan ini dapat memberikan kelegaan buat mereka untuk berdepan ujian Covid-19,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Ismail memberitahu, bantuan yang dihulurkan itu hasil sumbangan orang ramai menerusi tabung kebajikan masjid.
“Kita akan meneruskan bantuan ini dari semasa ke semasa berpandukan kepada situasi terkini Covid-19.
“Pihak masjid mengucapkan terima kasih kepada semua penyumbang dana sehingga membolehkan kita menggerakkan usaha ini,” ujarnya.
Untuk rekod, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) masih lagi dikuatkasakan di daerah ini, Kota Bharu, Tanah Merah dan Machangb sehingga 20 Disember depan. -UTUSAN ONLINE