Maqis patahkan cubaan bawa durian Musang King ke Saudi - Utusan Malaysia

Maqis patahkan cubaan bawa durian Musang King ke Saudi

CUBAAN seludup durian Musang King ke Arab Saudi ditumpaskan Maqis di KLIA, kelmarin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Tindakan licik lelaki tempatan menyeludup durian di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di Sepang tumpas apabila dapat ‘dihidu’ oleh pihak berkuasa.

Suspek berjaya ditahan ketika cuba membawa keluar ‘raja segala buah’ baka Musang King itu untuk terbang ke ibu kota Arab Saudi, Riyadh pada pukul 12.30 tengah hari kelmarin.

“Kejayaan itu hasil usaha Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) dengan kerjasama Polis Bantuan Malaysia Airports Berhad,” kata kenyataan agensi itu hari ini.

Menurut Pengarah Maqis Selangor, Dr. Tarmisal Alimin, hasil pemeriksaan lanjut menemui 280 paket seberat 126 kilogram dianggarkan bernilai RM22,400 yang disorok dalam tujuh bagasi.

Durian itu ujar beliau, dipercayai bakal dijual di pasaran Arab Saudi dan kesemua buah tersebut dirampas oleh pihak Maqis, kerana tiada permit eksport selain sijil fitosanitasi yang sah.

“Perbuatan mengeksport keluaran pertanian tanpa permit yang sah adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 11(2) Akta Maqis 2011 dan boleh dikenakan hukuman,” kata Tarmisal lagi.

Jika sabit kesalahan, ia boleh didenda tidak lebih RM100,000 atau penjara selama tempoh maksimum enam tahun atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 11(3) akta yang sama.

Maqis jelas beliau, mengambil langkah serius dalam isu membabitkan keselamatan makanan, kawalan penyakit dan risiko kemasukan perosak yang boleh ancam industri pertanian negara.

“Tindakan penguatkuasaan Maqis akan terus diperkasa demi memastikan kawalan penyakit haiwan, ikan, tumbuhan dan jaminan keselamatan makanan terpelihara,” tegas Tarmisal. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN