KUALA LUMPUR: Pemansuhan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) disifatkan sebagai langkah tepat bagi menghilang tanggapan dan persepsi ibu bapa terhadap kemenjadian anak-anak berdasarkan orientasi peperiksaan semata-mata.
Presiden i-Guru, Mohd. Azizee Hasan berkata, ibu bapa sebaliknya perlu melihat setiap anak-anak menerusi kelebihan dan potensi tersendiri jika digilap dengan betul serta terancang.
Katanya, orientasi peperiksaan turut dilihat membawa perbandingan antara murid yang boleh melemahkan semangat dan rasa rendah diri dalam murid.
“Lagi pun pendidikan kita perlu bersedia mendepani cabaran guna tenaga masa depan yang berorientasikan revolusi industri 4.0.
“Langkah ini juga secara tidak langsung mampu mengurangkan beban guru yang tertekan untuk memastikan murid-murid memperoleh ‘A’ dalam peperiksaan UPSR kepada mendidik dan mengembangkan bakat dan potensi murid secara holistik,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mohd. Azizee berkata, pihak Kementerian Pendidikan perlu menambah baik kaedah pentaksiran sedia untuk kemasukan ke sekolah-sekolah pilihan seperti Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) supaya meningkatkan peratusan murid dalam bidang sains dan teknologi (STEM).
“Perubahan ini diharap tidak menjadikan murid-murid semakin malas disebabkan tiada persaingan untuk mengejar berapa A, tetapi menyubur potensi dan bakat murid yang memiliki kepelbagaian kecerdasan.
“Dalam masa yang sama langkah ini sekali gus mengurangkan tekanan kepada murid-murid dan melihat perkembangan murid secara lebih holistik dan tidak kepada aspek kognitif,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE