KLUANG : “Mereka meninggal dunia dalam keadaan tragis dan menyedihkan.”
Demikian luahan seorang rakan baik kepada pasangan suami isteri, Wong Fok On, 55, dan Chong Yoke Choo, 53, yang maut setelah kereta dinaiki mereka dirempuh lori semalam.
Menurut Gan Ping Sieu, kenderaan Hyundai Elantra dinaiki rakannya, Fok On bersama isteri, Yoke Choo diseret oleh lori tersebut yang dipercayai mengalami masalah brek.
“Mereka berhenti di persimpangan lampu isyarat di Kilometer 85.5 Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam berhampiran Plaza Tol Machap dan tiba-tiba sebuah lori meluru dan melanggar beberapa kereta di situ.
“Mendiang bersama isteri dan kakak iparnya berada dalam kereta pertama yang dilanggar dan kemudian diseret oleh lori berkenaan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Ping Sieu yang juga Ketua MCA Bahagian Kluang berkata, kali terakhir dia bertemu Fok Onn pada perayaan Krismas lalu dalam satu majlis dan sudah mengenalinya lama sejak 1993.
“Saya anggapnya sebagai kawan baik, keluarga dan malah seperti abang saya. Saya dapat tahu mengenai kejadian ini daripada rakan yang menghubungi saya kira-kira pukul 5 petang.
“Saya tahu mereka ke Kukup Pontian kerana ada percutian keluarga dan saya telefon adik mangsa dan dia kata mereka meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.
Katanya, mendiang meninggalkan tiga anak termasuk Wong Song Ling, 20, yang menjadi pemandu Hyundai Elantra ketika kejadian.
Selain pasangan suami isteri itu, Ping Sieu berkata, turut terbunuh kakak ipar mangsa iaitu Tan Sow Ngo, 55.
Semalam, tiga terbunuh dalam kemalangan membabitkan sebuah lori dan tujuh kenderaan di persimpangan lampu isyarat berhampiran Plaza Tol Machap.
Difahamkan kejadian berlaku pada pukul pada pukul 4 petang itu berpunca daripada brek sebuah lori tanpa muatan yang gagal berfungsi sebelum merempuh kenderaan lain berhenti di hadapan.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Law Hang Seng berkata pemandu lori warga tempatan berusia 27 tahun ditahan semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 14(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Katanya, punca sebenar kejadian masih lagi dalam siasatan. – UTUSAN