KUALA KRAI: Sektor pelancongan di Dabong yang baru berkembang dengan fenomena pendakian gunung yang dinamakan ‘Train to Dabong’ merudum selepas Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan.
Antara yang terjejas teruk ialah kumpulan malim gunung di situ yang selama ini mencari rezeki membawa pelancong menerokai kawasan ekopelancongan di Dabong terutama Gunung Stong.
Ketua Persatuan Malim Gunung Kelantan (PMGK), Yuzanei Jusoh berkata, para malim gunung pernah hilang pendapatan selama tiga bulan ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu.
Katanya, mereka sekali lagi hilang punca pendapatan ekoran jumlah pengunjung merosot mendadak sejak PKPB dilaksanakan di semua negeri di Semenanjung bermula 9 November lalu dan di Kelantan bermula 21 November lalu.
“Ketika itu, kami hanya bergantung kepada wang simpanan masing-masing yang sepatutnya digunakan bagi menghadapi musim tengkujuh. Selepas PKP berakhir kami berusaha bangkit.
“Alhamdulillah sektor pelancongan di Dabong kembali pesat membangun, namun, selepas PKPB dilaksanakan bulan ini, kami sekali lagi hilang mata pencarian,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Sebelum ini, fenomena ‘Train to Dabong’ yang tular dalam media sosial menyaksikan orang ramai berbondong-bondong mengunjungi Dabong setiap hari, terutama pada hujung minggu dengan menaiki kereta api.
Mengulas lanjut, Yuzanei berkata, para malim gunung pasrah dengan situasi terkini negara dan berharap ancaman pandemik Covid-19 segera berakhir supaya mereka dapat kembali mencari rezeki.
“Buat masa ini, rata-rata malim gunung bergantung dengan wang simpanan untuk hidup dan menyara keluarga masing-masing, selain cuba melakukan kerja-kerja sampingan di sekitar Dabong,” katanya. -UTUSAN ONLINE