PUTRAJAYA: Malaysia dan Singapura akan mengumumkan perkembangan lanjut berhubung projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) antara dua negara itu menerusi kenyataan bersama dalam satu waktu yang ditetapkan nanti.
Perkara itu dicapai menerusi perbincangan antara Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong dalam satu panggilan video hari ini.
Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri, perbincangan itu antara lain menilai penangguhan kedua dan terakhir projek HSR sepanjang 350 kilometer itu yang berakhir pada 31 Disember ini.
“Kedua-dua pemimpin mencapai persefahaman baik dalam kedudukan negara masing-masing berhubung projek berkenaan.
“Malaysia dan Singapura turut mengukuhkan hubungan bilateral meliputi banyak bidang kerjasama bagi manfaat kedua-dua negara,” katanya di sini hari ini. -UTUSAN ONLINE