Malaysia mahu Brunei  wujudkan Laluan Hijau Timbal Balik  - Utusan Malaysia

Malaysia mahu Brunei  wujudkan Laluan Hijau Timbal Balik 

ALAIHUDDIN Mohd. Taha mengadakan pertemuan dengan Muhyiddin Yassin di Parlimen semalam. - FACEBOOK MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Hubungan dua hala Malaysia dan Brunei akan ditingkatkan dalam pelbagai aspek termasuk cabaran yang perlu dilalui akibat pandemik Covid-19.

Perkara itu disampaikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada Pesuruhjaya Tinggi Brunei ke Malaysia, Datuk Alaihuddin Mohd. Taha dalam pertemuannya di Parlimen, semalam.

Sebagai negara berjiran, kata Perdana Menteri, kedua-dua negara tidak harus menjadikan pandemik itu sebagai halangan dalam usaha meningkatkan lagi kerjasama yang ada. 

“Saya juga menyatakan hasrat Malaysia agar Brunei dapat mempertimbangkan cadangan mewujudkan Laluan Hijau Timbal Balik (Reciprocal Green Lane) melibatkan kedua-dua negara sebagai usaha menghidupkan semula sektor ekonomi yang terjejas akibat pandemik Covid-19,” katanya.

Alaihuddin mengadakan pertemuan itu kerana beliau akan menamatkan perkhidmatan hujung bulan ini.

Berhubung jemputan rasmi Sultan Brunei, Perdana Menteri berkata, beliau amat berbesar hati menerima jemputan itu untuk mengadakan lawatan rasmi ke negara berkenaan pada suku pertama tahun hadapan.

Kata beliau, lawatan itu akan diadakan bersekali dengan Rundingan Pemimpin Tahunan (Annual Leaders’ Consultation) kali ke-23.

“Saya merakamkan ucapan terima kasih kepada Alaihuddin atas khidmat, sumbangan dan persahabatan yang ditawarkan sepanjang enam tahun perkhidmatan beliau di Malaysia. 

“Terima kasih dan selamat maju jaya saya ucapkan,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN