MAIWP lancar Gerobok Rezeki ajak komuniti beli sambil beramal - Utusan Malaysia

MAIWP lancar Gerobok Rezeki ajak komuniti beli sambil beramal

AKBAR Samon (dua dari kanan) membuat lawatan ke kedai rakyat MAIWP pada Program Floor Walk dan Santunan Asnaf di Presint 5, Putrajaya, hari ini. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) mengajak masyarakat agar bersama membantu golongan asnaf dengan menyumbang melalui program Gerobok Rezeki.

 Saranan itu disuarakan oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Akbar Samon dalam sidang akhbar hari ini bagi menjelaskan perancangan MAIWP dalam menyantuni kelompok asnaf ketika ini.  

“Caranya begitu mudah, beli sahaja apa-apa barangan di kedai ini dan maklumkan petugas bahawa barang tersebut untuk disumbangkan kepada sudut Gerobok Rezeki di situ,” katanya.

Terdahulu, beliau mewakili Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri melancarkan program sulung itu di Kedai MAIWP, Presint 5 di sini.

Pada program itu juga, seramai 50 orang asnaf yang tinggal di sekitar Putrajaya disantuni dengan penyampaian barangan kegunaan harian termasuk beras, minyak masak, biskut dan gula.

Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pungutan Zakat MAIWP, Ahmad Shukri Yusoff dan Ahli Lembaga Pengarah MAIWP Dagang Sdn. Bhd., Datuk Dr. Hafsah Hashim.

Mengulas lebih lanjut, Akbar berkata, gerobok berbentuk rak bertingkat itu memang sengaja diletak di luar pintu masuk Kedai MAIWP untuk diambil mereka yang dalam kesempitan hidup.

“Kita tiada sekatan atau letak syarat ketat tertentu waima penduduk luar Wilayah Persekutuan sendiri boleh hadir mengambil barang keperluan harian disusun di gerobok ini,” jelasnya lagi.

Namun, beliau pada masa sama mengharapkan penyertaan masyarakat yang berkemampuan bagi turut memenuhkan gerobok itu sambil berniat untuk buat kerja amal selain bersedekah.

Mereka ujar Akbar, tidak perlu bersusah payah dengan datang membawa pelbagai barangan yang hendak diletakkan di situ, sebaliknya boleh membeli terus dari Kedai MAIWP tersebut.

Ketika ini, kedai berkenaan yang diuruskan oleh syarikat milik penuh agensi tersebut, MAIWP Dagang Sdn. Bhd. telah ada dua buah cawangan di Putrajaya iaitu di Presint 5 dan Presint 9.

“Bagi mereka yang tidak dapat datang ke kedai ini, boleh berbelanja secara atas talian hasil kerjasama inovasi pihak MAIWP dengan penyedia aplikasi tempatan MyPasar,” terang beliau.

Barangan dibeli itu ujar Akbar, akan dihantar terus ke rumah pelanggan dengan cepat dan selamat, sekali gus memudahkan urusan pembelian tanpa perlu langsung keluar dari rumah.

Beliau menambah, Kedai MAIWP yang ditubuhkan sejak 2011 bertujuan bagi memasarkan pelbagai produk untuk masyarakat sekitar dengan jaminan tawaran harga agak kompetitif.

“Sekiranya sambutan cukup baik, MAIWP bersedia menambah banyak cawangan baharu di lokasi yang dikenal pasti ada permintaan tinggi untuk kemudahan orang ramai,” katanya.  -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya