Maik belanja RM22 juta bantu asnaf terkesan Covid-19  - Utusan Malaysia

Maik belanja RM22 juta bantu asnaf terkesan Covid-19 

TENGKU Mohamad Rizam (kiri) menyerahkan sumbangan kewangan kepada Ab. Pattah di Desa Alam Shah, Kampung Jenarah, Pasir Puteh, hari ini.-UTUSAN/ TOREK SULONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR PUTEH: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) membelanjakan hampir RM22 juta membantu asnaf seluruh Kelantan yang terkesan dengan pendemik Covid-19 sejak Mac lalu. 

Yang Dipertua Maik, Tengku Temenggong Kelantan, Tan Sri Tengku Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, hampir 20,000 penerima terdiri daripada pelbagai latar belakang keluarga menerima bantuan tersebut yang disalur menerusi empat fasa.

Katanya, pelaksanaan fasa keempat melibatkan sumbangan sebanyak RM46,000 kepada 82 keluarga yang masih dalam tempoh kuarantin termasuk penduduk yang terlibat dengan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bagi kluster Huma.

“Senarai penerima diangkat oleh Jawatankuasa Bencana Jajahan di mana setiap keluarga akan menerima wang tunai RM500 sebagai perbelanjaan selepas tamatnya PKPD nanti selain bekalan bungkusan makan untuk keperluan semasa,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Pengurniaan Sumbangan PKPD Kluster Huma di Desa Alam Shah, Kampung Jenarah, di sini hari ini. 

Tengku Temenggong menyerahkan sumbangan itu kepada Ketua Jajahan Pasir Puteh, Ab. Pattah Hasbullah untuk disampaikan kepada penduduk terbabit mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan. 

Yang turut hadir, Timbalan Yang DiPertua Maik, Zulkifli Abdul Rahman dan Pegawai Kesihatan Daerah, Dr. Zawiah Dollah. 

Tengku Mohamad Rizam berkata, Maik juga memperuntukkan sejumlah RM5,000 untuk disumbangkan kepada pengurusan Madrasah Ad-Diniah al-Falahiah Kampung Dalam Huma.

Sumbangan itu kata beliau, diharap sedikit sebanyak meringankan beban guru pondok dan pelajar yang terkesan dengan PKPD.  -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya