Mahkamah baharu berharga RM30 juta dibina di Sik

Mahkamah baharu berharga RM30 juta dibina di Sik

TAKIYUDDIN Hassan (tengah) bergambar bersama kakitangan Mahkamah Baling selepas mengadakan lawatan di mahkamah itu hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALING: Sebuah bangunan mahkamah baharu bakal dibina pada tahun depan di daerah Sik dengan kos RM30 juta bagi menampung keperluan kes yang semakin meningkat.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan berkata, pihak kerajaan telah mengenal pasti tapak pembinaan bangunan mahkamah itu yang berkeluasan 1.2 hektar di pekan Batu Lima, Sik.

Menurutnya, bangunan mahkamah baharu itu akan dibina bagi menggantikan bangunan Mahkamah Sik lama yang dibina pada tahun 50-an dan didapati telah usang.

“Pembinaan bangunan baharu itu nanti dijangka siap pada tahun 2022,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perjumpaan bersama Datuk Bandar dan Yang Dipertua (YDP) Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Kedah di Pejabat Daerah Baling di sini hari ini.

Beliau sebelum itu turut mengadakan lawatan ke Mahkamah Majistret Baling di sini.

Takiyuddin memberitahu, ketiadaan Mahkamah Sesyen di bangunan Mahkamah Sik menyebabkan kes-kes tersebut dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Sungai Petani.

Selain itu, tambahnya, kes yang melibatkan tangkapan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditempatkan di Depot Imigresen Belantik, Sik pula dibawa ke Mahkamah Khas PATI di Mahkamah Alor Setar. 

“PATI yang ditahan di Depot Imigresen Belantik selepas ini akan dibawa ke Mahkamah Sik yang baharu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN