Mahkamah arah denda RM3.46 juta dipulangkan kepada tiga bekas pegawai syarikat pelaburan - Utusan Malaysia

Mahkamah arah denda RM3.46 juta dipulangkan kepada tiga bekas pegawai syarikat pelaburan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan agar denda berjumlah RM3.46 juta dipulangkan semula kepada tiga bekas pegawai syarikat pelaburan, Kosmo Technology Industrial Bhd. (Kosmo Tech.) termasuk seorang yang bergelar Datuk.

Hakim Muhammad Jamil Hussin memerintahkan demikian selepas membenarkan rayuan bekas pengarah urusan Kosmo Tech., Datuk Norhamzah Nordin, bekas pengarah eksekutif syarikat itu, Mohd. Azham Mohd. Noor dan bekas pengurus akaun syarikat berkenaan, Lim Hai Loon berhubung sabitan salah, denda dan penjara yang dikenakan terhadap mereka.

Pada 3 Mei 2019, Mahkamah Sesyen di sini menjatuhkan hukuman denda RM1.45 juta dan penjara dua tahun setiap seorang bagi Norhamzah dan Mohd. Azham; masing-masing berusia 55 tahun, serta denda RM560,000 dan penjara setahun bagi Hai Loon selepas mendapati mereka bersalah mengemukakan pernyataan palsu kepada Bursa Malaysia Securities Berhad, 14 tahun lalu.

Terdahulu Hakim Muhammad Jamil ketika membaca keputusannya menyatakan, berlaku salah arah yang serius di Mahkamah Sesyen menyebabkan Mahkamah Tinggi perlu campur tangan dalam keputusan hakim terdahulu.

“Mahkamah mendapati Hakim Mahkamah Sesyen tidak mempertimbangkan keterangan bersumpah pegawai akaun syarikat itu yang juga saksi pembelaan keempat. Kegagalan itu telah memprejudiskan kesemua perayu. Pada pendapat saya, tindakan tidak mengambil kira keterangan saksi pembelaan itu adalah satu ketidakadilan yang serius,” katanya.

Sehubungan itu, mahkamah mendapati sabitan salah terhadap kesemua perayu adalah tidak selamat untuk dikekalkan dan memutuskan agar sabitan itu dibatalkan.

“Denda dipulangkan kepada kesemua perayu dan jaminan juga dipulangkan,” kata Hakim Muhammad Jamil.

Pada prosiding hari ini, kesemua perayu diwakili peguam-peguam bela, Datuk C. Vignesh Kumar, Daniel Annamalai, PG Cyril dan Magita Hari Mogan manakala pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Sekuriti, Shoba Venu Gobal dan Hashley Tajudin.

Pada 2011, Norhamzah dan Mohd Azham didakwa atas lapan pertuduhan mengemukakan pernyataan palsu dalam penyata pendapatan bagi tahun 2006 dan 2007 syarikat itu kepada Bursa Malaysia Securities Berhad di Exchange Square, Bukit Kewangan di sini antara 2006 dan 2008.

Hai Loon pula didakwa atas lapan pertuduhan bersubahat melakukan perkara sama.

Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 122B (a)(bb) dibaca bersama Seksyen 122C(c) Akta Perindustrian Sekuriti 1983 (Akta 280) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 122B akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM3 juta atau penjara maksimum 10 tahun. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN