Macau Scam perdaya guru sehingga kerugian lebih RM19,000

Macau Scam perdaya guru sehingga kerugian lebih RM19,000

MOHD. WAZIR MOHD. YUSOF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Seorang guru di sini kerugian RM19,950 ditipu sindiket Macau Scam yang memperdaya mangsa terlibat kegiatan pengubahan wang haram.

Wanita berusia 37 tahun itu dihubungi individu menyamar pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) pada pagi kelmarin dan dimaklumkan mempunyai tunggakan cukai perniagaan syarikatnya.

Mangsa yang menafikan mempunyai syarikat yang dinyatakan bagaimanapun cuba diyakinkan oleh sindiket tersebut dengan serta-merta menyambungkan perbualan itu kepada individu lain yang menyamar sebagai anggota polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintenden Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, individu menyamar polis terbabit menuduh mangsa terlibat jenayah pengubahan wang haram.

“Pengadu diarahkan untuk memuat turun aplikasi (palsu) Bank Negara Malaysia (BNM) dan disuruh mengisi butir-butir peribadi termasuk kata laluan perbankan secara dalam talian.

“Setelah selesai perbualan telefon, mangsa menyedari wang di dalam akaunnya telah dipindahkan ke akaun milik individu tidak dikenali melibatkan lima transaksi.

“Mangsa mengalami kerugian RM19,950. Mangsa membuat laporan di Balai Polis Jaya Gading dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan di sini. 

Sehubungan itu, Mohd. Wazir menasihati orang ramai supaya tidak memuat turun dan mengisi sebarang maklumat dalam aplikasi palsu BNM seperti diarahkan mana-mana individu.

“Jangan teruskan perbualan telefon daripada individu yang mengaku pegawai LHDN yang menyambung talian kepada agensi lain.

“Sesebuah agensi penguat kuasa juga tidak mengamalkan sambungan talian kepada agensi penguatkuasa yang lain dan jangan sesekali memuat turun aplikasi BNM kerana ia palsu,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN