IPOH: Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu terkilan kerana tidak sempat membentangkan Belanjawan Negeri 2021 apabila gagal meraih sokongan majoriti ahli dewan dalam usul undi percaya terhadap beliau semalam.
Menurutnya, banyak perkara baik dalam belanjawan tersebut yang mahu beliau umumkan terutama untuk penjawat awam negeri.
“Saya sendiri susah hati apabila belanjawan tak dapat nak dibentangkan, banyak berita baik di situ termasuk penjawat awam dan mereka menantikannya.
“Pagi ini saya berjoging, jumpa dengan rakan penjawat awam yang menyatakan rasa sedih mereka kerana saya tak sempat bentangkan perkara baik untuk mereka dan seterusnya diluluskan,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyampaikan bantuan RM900,000 kepada sembilan Sekolah Persendirian Cina (SUWA) di sini, hari ini.
Ahmad Faizal yang juga Pengerusi Bersatu Perak berkata, beliau berharap rakyat khususnya penjawat awam di negeri ini bersabar menantikan perkara baik untuk mereka dalam belanjawan negeri.
“Kena bersabar, berdoa agar masalah ini dapat diselesaikan,” katanya.
Beliau yang juga Timbalan Presiden Bersatu turut meminta rakyat bertenang berikutan kemelut politik negeri yang berlaku.
“Kalau orang yang nak disingkirkan ini pun dengan hashtag ‘kekal tenang’, saya harap rakyat bertenang, tak perlu runsing,” katanya.
Semalam, pada awalnya, usul undi percaya terhadap Ahmad Faizal yang dibawa oleh seorang ADUN UMNO disenarai untuk dibahaskan selepas pembentangan Belanjawan 2021 dalam persidangan DUN.
Bagaimanapun dua usul tergempar yang dibawa Salbiah Mohamed (BN-Temenggor) dan Howard Lee (PH-Pasir Pinji) kepada DUN diterima Speaker, Datuk Mohamad Zahir Abdul Khalid untuk undian dijalankan.
Dalam undian itu, daripada 59 ADUN, sebanyak 48 undi menolak usul percaya itu berbanding 10 yang menyokongnya manakala satu undi rosak atau berkecuali. -UTUSAN