GEORGETOWN : Kepemimpinan UMNO wajar melupakan seketika jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) bagi mengelak pergolakan politik dalam pentadbiran kerajaan Pusat ketika pandemik Covid-19 masih melanda negara.
Veteran UMNO, Tan Sri Mohd. Yussof Latiff berkata, pada masa ini, tumpuan perlu diberikan sepenuhnya untuk pemulihan ekonomi rakyat, bukannya untuk berebut jawatan TPM.
“Elok lupakan dahulu (jawatan TPM) kerana Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ada pandangan sendiri, malah sekarang ini juga kita telah ada Menteri-Menteri Kanan.
“Sepatutnya kita bina kembali ekonomi negara dan atasi Covid-19, jangan rebut jawatan TPM kerana boleh jejaskan kerajaan sedia ada,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.
Sebelum ini, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyatakan isu jawatan TPM untuk diisi pemimpin UMNO akan dibangkitkan semula sebaik sahaja Belanjawan 2021 yang sedang dibahaskan di Parlimen selesai.
Jelas Ismail Sabri, perkara itu tidak pernah didiamkan kerana UMNO pemilik kerusi terbesar dalam kerajaan ketika ini selain tidak ada pemimpin UMNO diberikan jawatan tertinggi dalam Kabinet melainkan satu daripada empat jawatan menteri kanan yang disandang beliau.
Dalam pada itu, Mohd. Yussof berkata, pada masa ini kepimpinan UMNO perlu melakukan pembersihan parti supaya dapat diterima kembali oleh golongan muda.
“UMNO perlu dibina semula bersama-sama dengan parti-parti komponen seperti MCA agar rakyat kembali yakin dengan mereka.
“Saya percaya jika perkara ini dilakukan, Pilihan Raya Umum Ke-15 nanti UMNO akan diterima baik oleh rakyat dan ketika itu jika UMNO mendapat mandat baru elok disebut mengenai jawatan TPM,” katanya. -UTUSAN ONLINE