KOTA BHARU: Tidak tahu peraturan baharu dan terlupa menutup lampu menjadi antara alasan pengusaha kedai makan di bandar ini didapati melanggar arahan tempoh operasi sehingga pukul 10 malam.
Dalam operasi tinjauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di sekitar bandar ini semalam, dua premis diberi notis amaran oleh pihak berkuasa.
Operasi terbabit dilakukan pasukan penguat kuasa Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Yang Dipertua MPKB-BRI, Tuan Zainal Abidin Tuan Yusuf berkata, dalam operasi bermula pukul 4 petang hingga 12 tengah malam, sebanyak 37 premis di sekitar pusat bandar, Kubang Kerian dan Pengkalan Chepa diperiksa.
Katanya, antara kesalahan lain dikesan termasuk tidak menjarakkan tempat duduk, petugas premis tidak memakai pelitup muka dengan betul serta tidak menyediakan penyukat suhu, cecair pembasmi kuman dan buku catatan nama. – UTUSAN ONLINE