KEPALA BATAS: Status sebagai seorang pemegang Ijazah Doktor Falsafah (PhD) tidak menghalang seorang guru untuk mengejar satu lagi cita-citanya yang belum tercapai iaitu menjadi usahawan berjaya.
Meskipun terpaksa bergelut dengan masa untuk menguruskan kedua-dua kerjaya secara serentak selain menguruskan keluarganya sendiri, Dr. Siti Hawa Abdullah, 36, tidak pernah mengeluh sebaliknya sentiasa positif dengan apa yang diusahakannya selama ini.
Ketika ini, anak kedua daripada lima beradik itu sedang gigih mempromosikan perniagaan kek cawan di bawah jenama Kek Cup Comei: Dr. Saab yang diwarisi daripada keluarganya sejak 25 tahun lalu.
“Alhamdulillah, apa yang saya impikan sebelum ini (memiliki PhD dalam Bahasa Arab) telah tercapai dan kini saya berazam untuk menyambung semula impian ibu dalam memajukan perniagaan yang dipeloporinya sejak kami lima beradik masih kecil,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini.
Ketika ini, tiga adiknya termasuk kakak sulung mereka yang juga berkelulusan PhD iaitu Dr. Siti Mariam Abdullah, 38, turut sama membantu perniagaan itu khususnya dari segi kerja-kerja promosi dan pemasaran.
Selain Siti Hawa dan Siti Mariam, adik bongsu mereka, Siti Khadijah Abdullah, 29, juga sedang mengikuti pengajian di peringkat ijazah kedoktoran dalam bidang seni kulinari dan perhotelan sekali gus dilihat bakal memberi nilai tambah kepada perniagaan kek cawan itu pada masa depan.
Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai sambutan terhadap perniagaan kek cawan yang menggabungkan nama ibu dan bapanya itu iaitu Salmah dan Abdullah, Siti Hawa berkata, dia dan beberapa pekerjanya kini tidak ‘menang tangan’ untuk menyiapkan tempahan yang diterima.
“Sekarang secara puratanya, kami mampu menghasilkan sehingga 100 bekas kek sehari dengan setiap bekas mengandungi 33 biji kek cawan yang diadun dengan resepi turun-temurun dan dijual RM12 sebekas.
“Sasaran kami ialah untuk menggandakan pengeluaran kepada 200 bekas kek sehari selain meningkatkan bilangan ejen untuk memasarkannya,” katanya.
Ibu kepada dua cahaya mata itu menambah, dia juga menyasarkan untuk menambah varian kek cawan yang dijual ketika ini kepada perisa lain berbanding perisa oren asli ketika ini.
Siti Hawa yang kini sedang menunggu tawaran menjadi pensyarah di sebuah institut pendidikan guru (IPG) di sini turut memberitahu, jualan kek cawannya cukup memberangsangkan walaupun ketika pandemik Covid-19 apabila mampu dijual antara 50 hingga 70 bekas kek sehari.
“Sebenarnya, selain berniaga untuk meneruskan legasi yang dimulakan oleh ibu, saya dan adik-beradik yang lain juga berniat menjadikan perniagaan ini sebagai platform untuk membantu orang lain menjana pendapatan serta menyumbang kembali kepada pembangunan masyarakat.
“Setakat ini, kami bersyukur kerana segala usaha kami telah dipermudahkan,” katanya yang boleh dihubungi menerusi talian 011-59827669 atau laman Facebook, Drsaab dan kekcupcomei untuk keterangan lanjut. – UTUSAN