KUALA LUMPUR: Pertubuhan Bukit Antarabangsa Task Force (BATF) tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) kerana meluluskan projek pembangunan mega Lot 850 di Bukit Antarabangsa.
Pengerusi BATF, Datuk Al Bakri Ali berkata, ini kerana sehingga ke hari ini MPAJ masih tidak memberikan jawapan mengapa kelulusan pembangunan diberikan kepada pemaju meskipun terdapat bantahan penduduk.
“Selepas kami meminta supaya MPAJ menunjukkan salinan kelulusan bersyarat yang dibuat dengan pemaju tempoh hari, kami menghantar satu surat peringatan kepada Yang Dipertua MPAJ namun masih tiada jawapan bertulis sehingga hari ini.
“Sudah lima tahun kami memperjuangkan isu ini, tetapi jika masih tiada jawapan dari MPAJ, kita tidak teragak-agak untuk bawa isu ini ke muka pengadilan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.
Pada masa sama, Al Bakri juga mempersoalkan sikap MPAJ yang seolah-olah mengenepikan suara persatuan penduduk.
“Perbincangan status projek ini melibatkan pelbagai pihak tetapi malangnya NGO penduduk tidak dilibatkan bersama. Kami hanya memohon supaya MPAJ memberikan penjelasan dan jaminan dari kerajaan negeri bahawa tidak akan berlaku bencana alam,” katanya.
Projek Lot 850 yang terletak di Batu 6 1⁄4, Jalan Ulu Klang, Mukim Ulu Klang, Daerah Gombak telah mendapat bantahan penduduk sejak 2015.
Projek itu akan membina dua blok kondominium di atas lapan hingga 12 ekar dan terletak di kawasan cerun, bersebelahan Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) dan berhampiran dengan Highland Towers.
Projek tersebut dilaporkan tergantung sementara berdasarkan Mesyuarat Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) pada 18 Ogos 2016 bagi meneliti bantahan penduduk.
Namun, penduduk dikejutkan dengan papan tanda pada Julai lalu yang menunjukkan bahawa pemaju sudah mendapat kelulusan pembangunan, dengan tarikh projek bermula 22 Jun 2020 dan akan tamat pada 5 Julai 2021.
MPAJ pada Oktober lalu berkata pihaknya ambil maklum bantahan penduduk namun memberitahu permohonan cadangan pembangunan Lot 850 telah pun diluluskan pada 8 Januari 2019. -UTUSAN ONLINE