IPOH: Taman tema air, Lost World Of Tambun (LWOT) di sini dibuka semula sepenuhnya kepada pengunjung bermula Sabtu ini dengan penambahbaikan beberapa garis panduan sebagai langkah pencegahan Covid-19.
Pengurus Besar LWOT, Nurul Nuzairi Mohd. Azahari berkata, selain pematuhan ketat prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan, pihaknya turut melakukan beberapa tambahan langkah pencegahan wabak berkenaan.
Menurutnya, slogan ‘State Of Play’ telah diperkenalkan di LWOT, yang mana garis panduan yang dilaksanakan menjadikan taman tema tersebut selamat untuk dikunjungi.
“Kebenaran rentas negeri memberikan peluang kepada semua warga Malaysia mengunjungi pusat peranginan untuk merancakkan ekonomi negara.
“Oleh itu, mengapa tidak merancang perjalanan ke LWOT dengan taman tema yang dikelilingi udara segar, dikelilingi hutan dan mesra alam,” ujarnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Pengunjung juga boleh menempah serta membeli tiket secara online di laman web rasmi LWOT di samping dapat menikmati pelbagai tawaran menarik.
“Para pengunjung boleh menikmati rebat istimewa sehingga 40 peratus bagi tempahan bilik di laman www.sunwaylostworldoftmbun.com.
“Dengan berbaki beberapa hari sebelum ke tahun 2021, marilah mengukir memori indah dengan melawat taman tema kami bersama keluarga tercinta,” katanya.
Taman tema ini ditutup buat sementara sebagai langkah keselamatan pada Oktober lalu selepas seorang daripada pengunjungnya disyaki dijangkiti Covid-19.
Langkah penutupan sementara selama 14 hari itu dibuat atas nasihat secara lisan daripada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia bagi kerja pembersihan yang mendalam di sekitar taman tema serta hotel.
Bagaimanapun, penutupan tersebut bersambung apabila kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada bulan lalu yang melarang semua tempat rekreasi dibuka. – UTUSAN ONLINE