KUALA PILAH: Sebuah lori dengan muatan diesel terbabas yang turut mengakibatkan muatan yang dibawa tersebut tumpah dalam kejadian kemalangan di Jalan Jemapoh Pekan Kuala Pilah-Batu Kikir membabitkan dekat sini, pagi tadi.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBDP) Kuala Pilah, Eva Saifun Kamuni, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.19 pagi.
Katanya, sebaik tiba di lokasi terdapat satu kemalangan melibatkan sebuah lori membawa muatan 10,000 liter diesel terbabas.
“Seorang lelaki yang merupakan pemandu lori berusia lingkungan 30-an mengalami kecederaan ringan susulan kejadian berkenaan.
“Terdapat tumpahan minyak diesel di atas jalan raya. Kami melakukan kerja-kerja pembersihan minyak sehingga pukul 9.30 pagi dan kemudiannya disambung oleh kakitangan Selia Selanggara,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Eva Saifun berkata, pasukan bomba memantau keadaan sehinggalah lori muatan diesel yang terbalik itu berjaya ditegakkan semula.
Menurutnya, sebaik berjaya ditegakkan, laluan berkenaan disembur dengan air dan ditabur dengan serbuk papan.
“Kerja-kerja pembersihan kemudiannya disambung oleh kakitangan Selia Senggara,” katanya. -UTUSAN ONLINE