Lima termasuk dua beranak ditahan edar dadah - Utusan Malaysia

Lima termasuk dua beranak ditahan edar dadah

HOO Chang Hook (dua, kanan) menunjukkan dadah yang dirampas dalam sidang akhbar di IPD Jempol dekat sini hari ini. Turut kelihatan Asisten Superintenden S. Wikkram (dua, kiri)-UTUSAN/BADRUL HAFIZAN MAT ISA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JEMPOL: Lima lelaki tempatan termasuk bapa dan anak ditahan dalam lima serbuan berasingan Op Tapis yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol pada 9 Disember lalu.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, kesemua suspek berusia dalam lingkungan 25 hingga 56 tahun itu ditahan di Bandar Seri Jempol, Felda Palong 4, Bahau Mahsan dalam operasi yang bermula pukul 9 pagi hingga 11 malam.

“Hasil serbuan tersebut seramai lima lelaki tempatan telah berjaya ditangkap bersama dadah jenis heroin dan syabu. Jumlah rampasan dadah jenis heroin adalah sebanyak 624.15 gram dan dadah jenis syabu adalah sebanyak 201.26 gram.

“Harga pasaran bagi dadah jenis heroin dianggarkan sebanyak RM21,845.25 manakala dadah jenis syabu yang dirampas bernilai RM30,189,” katanya dalam sidang akhbar di IPD Jempol dekat sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Jempol, Asisten Superintenden S. Wikkram.

Sementara itu, menurut Chang Hook, berdasarkan siasatan pihaknya, semua suspek yang ditangkap mempunyai kaitan di antara satu sama lain dalam aktiviti pengedaran dadah di daerah ini.

“Kesemua mereka ditahan di rumah, di tepi dan simpang taman termasuk bapa dan anak terbabit serta dadah yang dirampas ditemukan di dalam rumah dan kereta yang dinaiki suspek.

“Hasil ujian air kencing kesemua suspek didapati positif dadah jenis morfin dan methamphetamine dan turut mempunyai rekod lampau atas kesalahan dadah dan jenayah,” katanya.

Tambahnya, kesemua suspek telah direman selama tujuh sehingga 16 Disember depan untuk siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B, 39A(2), 39A(1), 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN