KUALA LUMPUR: Lima kakitangan Kementerian Kewangan menjadi individu pertama di negara ini dituduh atas kesalahan gagal membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas berlakunya tawaran sogokan, sejak dua tahun lalu.
Lima kakitangan itu ialah Pembantu Tadbir Kewangan, Nurul Ashikin Zulkaflee, 33; Penolong Akauntan, Siti Nurkhairunnisa Adnan, 32; Penolong Pegawai Tadbir, Mohd. Fairus Hussin, 38; Penolong Akauntan, Madiyana Mamat, 39; dan Penolong Akauntan, Azad Fadhmi Abdul Rahman, 38.
Mereka yang bertugas di Unit Pendaftaran Syarikat, Bahagian Perolehan Kerajaan di Kementerian Kewangan, Putrajaya didenda antara RM1,500 hingga RM2,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan pertuduhan itu.
Mengikut pertuduhan, mereka ditawarkan rasuah antara RM200 hingga RM600 bagi mempercepatkan proses permohonan taraf syarikat bumiputera dan permohonan akaun baru Kementerian Kewangan melalui sistem e-Perolehan di antara Mei 2018 hingga Jun lalu di Unit Pendaftaran Syarikat, Bahagian Perolehan Kerajaan, Kementerian Kewangan, Putrajaya.
Kegagalan melaporkan tawaran rasuah itu telah melanggar peruntukkan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 untuk menggalakkan integriti dan kebertanggungjawaban pentadbiran sektor awam.
Pertuduhan terhadap kesemua individu itu dibuat mengikut Seksyen 25(1) ASPRM 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 25(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-dua sekali.
Selepas mahkamah merekodkan pengakuan, peguam-peguam bela kesemua tertuduh, Mohd. Shahrullah Khan Nawab Zadah Khan dan Muhamad Aizat Fakri memohon agar anak-anak guam mereka tidak dikenakan hukuman penjara kerana boleh menyebabkan mereka hilang pekerjaan.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharudin Wan Ladin berkata, apabila ditawarkan sogokan, mereka sepatutnya melaporkan perkara itu kepada pihak berkuasa tetapi kesemua tertuduh gagal berbuat demikian.
“SPRM tidak boleh bergerak sendirian tanpa bantuan masyarakat untuk melaporkan kes rasuah. Tetapi mereka gagal untuk berbuat demikian,” ujarnya.
Hakim Manira Md. Noor selepas mempertimbangkan hujah dan rayuan kedua-dua pihak menjatuhkan hukuman denda RM1,500 terhadap Nurul Ashikin, Madiyana dan Azad Fadhmi manakala Nurkhairunnisa serta Mohd. Fairus didenda RM2,000.
Mahkamah turut memerintahkan kesemua tertuduh dipenjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut. Difahamkan mereka membayar denda itu. – UTUSAN