PUTRAJAYA: Produk Bituminous Cuplump (BC), Cuplump Modified Bitumen (CMB) dan Cuplump Modified Asphalt (CMA) yang dibangunkan Lembaga Getah Malaysia (LGM) berjaya memenangi hadiah keseluruhan bagi Anugerah Tahun Pengkomersialan Malaysia (MCY 2020) anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.
Bagi anugerah berkenaan, LGM turut memenangi kategori Anugerah Usahasama Penyelidikan dan Perniagaan melalui produk sama.
Produk-produk tersebut merupakan hasil inovasi dalam struktur kejuruteraan jalan bagi mengurangkan kebergantungan terhadap bahan tambahan sintetik melalui penggunaan bahan mesra alam untuk pembinaan jalan.
Anugerah itu disampaikan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin dalam Sidang Kemuncak MCY 2020 secara maya bagi mengiktiraf pencapaian penyelidik dan usahawan tempatan yang berjaya mengkomersialkan produk hasil pembangunan dan penyelidikan (R&D) mereka di pasaran tempatan dan antarabangsa sepanjang tahun ini.
Sebanyak enam kategori anugerah disampaikan dengan pemenang-pemenang menerima hadiah wang tunai berjumlah keseluruhan RM1 juta beserta trofi dan sijil penghargaan.
Pemenang Utama bagi empat kategori lain pula adalah Anugerah Pencapaian Pengkomersialan dimenangi DIA-Chemical Sdn. Bhd. melalui produk DIACHLOR Aluminium Chlorohydrate dan Anugerah Usahawan Penyelidik dimenangi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) melalui produk Technology Licensing of Epoxidized Methyl Oleate as Palm Based Plasticiser.
Selain itu, Anugerah Usahawan Sosial dimenangi oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) melalui produk Square Fish Crackers and Drying Tray for Producing Crackers dan Anugerah Inovator Baharu dimenangi oleh Venigo Sdn. Bhd. melalui produk Vein Display Instrument.
“Anugerah MCY ini diadakan untuk mengiktiraf sumbangan bakat tempatan kepada pertumbuhan ekonomi negara di samping meningkatkan motivasi penyelidik dalam mengkomersialkan produk atau teknologi hasil daripada R&D masing-masing,” menurut kenyataan kementerian berkenaan, hari ini.
Sidang kemuncak itu turut menyaksikan pemeteraian tiga Memorandum Persefahaman (MoU) antara Technology Park Malaysia (TPM) dengan Malaysia Green Technology and Climate Change Centre (MGTC) mengenai penyertaan TPM menerajui kluster pengkomersialan di Pavilion Malaysia di Ekspo 2020 Dubai.
MoU lain ialah antara Fav Food Industries dengan Akademi Pembangunan PKS dan Keusahawanan Malaysia (MASMED), Universiti Teknologi Mara (UiTM) bagi tujuan membudayakan keusahawanan dalam kalangan pelajar serta menggalakkan DNA kreatif dan inovatif dalam perniagaan.
Turut dimeterai ialah antara Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB), Kumpulan Modal Perdana Berhad (KMP) serta Malaysian Technology Development Corporation (MTDC) mengenai kemudahan pembiayaan untuk menyokong pembangunan digital dan automasi dalam syarikat perniagaan melalui skim Dana Transformasi Pendigitalan Industri (IDTF).
“Selain itu, lima produk R&D yang dihasilkan pemegang taruh MCY turut dilancarkan iaitu Immunity Element daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Smart Urban Farming Kit daripada Green Eklan Sdn. Bhd., StudentQR Points daripada Myfuturity Global Sdn. Bhd., Xplore X7 daripada AdvanceTC Marketing Sdn. Bhd. dan Zero Waste Management System (ZEWMAS) daripada Institut Kemahiran Belia Negara Pekan,” katanya. -UTUSAN ONLINE