KOTA BHARU: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak teragak-agak menyenarai hitam lesen penjaja di bawah Program Wilayah Bebas Berniaga jika dikesan menyalahgunakan peluang itu dengan memberikannya kepada warga asing.
Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa turut memberi amaran, kesemua penjaja berjumlah 3,300 orang yang terbabit dalam program itu perlu mematuhi setiap arahan berkaitan lesen bagi mengelak dikenakan tindakan tegas.
“Kita tidak mahu warga asing yang memanfaatkan peluang diberikan oleh kerajaan kepada rakyat tempatan. Jadi kita memberi amaran kepada semua penjaja tersebut supaya tidak menyalahgunakan lesen itu dengan memberikannya kepada peniaga bukan warganegara.
“Kita juga akan semak dengan bahagian lesen dan penguatkuasaan berhubung salah laku melibatkan pemegang lesen tersebut,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Ramah Mesra bersama penduduk Kampung Tokong, Ketereh, di sini hari ini.
Dalam majlis sama, Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh menyampaikan Bantuan Covid-19 Kali Ketiga kepada 100 orang penerima terdiri daripada masyarakat Cina di kampung itu.
Annuar berkata, selain itu pihaknya mendapat maklumat daripada Jabatan Audit terdapat permohonan lesen tersebut dibuat atas nama individu yang sudah meninggal dunia.
“Ini perkara baru, jadi DBKL sedang menyemak dan pada masa sama akan memperketatkan lagi prosedur iaitu mewajibkan melakukan imbasan kad pengenalan penjaja ketika mereka datang mengambil lesen yang diluluskan.
“Setakat ini, sudah 80 peratus permohonan sudah diluluskan,” katanya.-UTUSAN ONLINE