BUTTERWORTH: Sudahlah tidak mahu membayar sekotak rokok yang diambil dari sebuah kedai runcit, malah bertindak pula seperti gangster dengan datang semula ke kedai itu membawa parang.
Namun, misi ‘membalas dendam’ suspek berusia 37 tahun itu tidak kesampaian apabila dia melarikan diri selepas disergah sekumpulan pekerja kedai runcit terbabit.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, kejadian berlaku di sebuah kedai runcit di Taman Bertam Permai, Kepala Batas dekat sini kelmarin selepas suspek cuba mengambil sekotak rokok tanpa membayarnya.
Bagaimanapun katanya, perbuatan suspek itu disedari pekerja kedai runcit tersebut yang bertindak mengejarnya dengan menaiki motosikal.
Namun tambahnya, disebabkan tidak berpuas hati kerana dikejar, suspek pergi semula ke kedai itu malam tadi untuk mencari pekerja yang mengejarnya dengan membawa senjata tajam dipercayai parang.
“Suspek pergi bersendirian ke kedai itu dalam keadaan marah dengan menunggang motosikal. Sambil memegang sesuatu disyaki parang, dia menjerit ‘hang (kamu) keluar, hangpa (kamu) tak puas hati apa’ sebelum pekerja lain keluar menghalang suspek.
“Suspek kemudiannya terus beredar dari situ,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Noorzainy berkata, hasil siasatan pihaknya menahan suspek di rumahnya di Permatang Tinggi C, Kepala Batas pada pukul 11.30 malam tadi.
Menurut beliau, polis turut merampas sebilah parang daripada suspek yang memiliki rekod jenayah lampau itu manakala ujian saringan air kencingnya juga mendapati positif syabu.
“Suspek tidak berpuas hati dengan pekerja itu dan dia mahu mencarinya, namun ketika suspek pergi semula, pekerja berkenaan tiada kerana sudah habis bekerja,” katanya.
Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE