Lelaki tampar juruwang didenda RM1,500 - Utusan Malaysia

Lelaki tampar juruwang didenda RM1,500

IZUANDY (tengah) dibawa ke Mahkamah Majistret, Klang, Selangor hari ini atas dakwaan menampar seorang juruwang wanita sedang hamil di sebuah pasar raya November lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Gara-gara menampar juruwang wanita sebuah pasar raya yang sedang hamil, pemandu lori ais didenda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Tertuduh, Izuandy Efendi, 38, dikenakan denda oleh Majistret Nik Nur Amalina Mat Zaidan selepas dia mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan  jurubahasa mahkamah.

Majistret Nik Nur Amalina turut mengarahkan tertuduh dihukum penjara sebulan sekiranya gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, lelaki tersebut dengan sengaja menampar pipi kiri seorang wanita berusia 24 tahun menggunakan tangan sehingga menyebabkan cedera kepada mangsa. 

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan tersebut di sebuah pasar raya di Batu 4, Rantau Panjang di sini pukul 9.30 malam pada 29 November lalu. 

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga satu tahun dan denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan. 

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Evangelin Simon Silvaraj manakala tertuduh tidak diwakili peguam. 

3 Disember lalu, Utusan Malaysia melaporkan seorang lelaki tergamak menampar seorang juruwang pasar mini yang hamil lima bulan hanya kerana barang dibeli isterinya yang ingin dimasukkan dalam plastik tercampak keluar, dalam kejadian di Rantau Panjang di sini.

Menceritakan kejadian, mangsa, Nor Ain Shafinaz Nor Azman, 24,berkata, isteri lelaki terbabit sedang membuat bayaran di kaunter dan ketika sedang memasukkan barang ke dalam plastik, dia tidak perasan salah satu barang yang dimasukkan tercampak keluar. 

“Wanita terbabit berang dan membebel, namun, saya tidak ambil peduli dan meneruskan kerja. Namun, beberapa saat kemudian, suami wanita ini yang berada di luar kedai meluru ke arah kaunter sambil membebel dan terus menampar muka.

“Malah, lelaki ini juga mempersoalkan insiden barang yang dibeli isterinya tercampak keluar ketika membuat bayaran dan meminta saya berhenti kerja jika tidak ikhlas dan berminat untuk terus bekerja,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya