BATU PAHAT : Pekerja kedai penghawa dingin terbunuh selepas Proton Wira dipandunya hilang kawalan lalu merempuh pokok di Kilometer 26 Jalan Kluang-Ayer Hitam-Batu Pahat di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, mangsa berusia 22 tahun disahkan meninggal dunia selepas dikejarkan ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) akibat parah pada bahagian kepala.
“Hasil siasatan awal di tempat kejadian mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta dipandu lelaki seorang diri itu datang dari arah Parit Raja menghala ke Ayer Hitam.
“Apabila sampai di tempat kejadian kereta dipandu melanggar pokok berada di bahu kanan jalan. Akibat pelanggaran tersebut, mangsa mengalami kecederaan parah dan dihantar ke Hospital Batu Pahat oleh pihak ambulans.
“Namun, mangsa disahkan meninggal dunia di bilik kecemasan Hospital Sultanah Nora Ismail Batu Pahat pada 7 pagi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Identiti dan butiran mangsa tidak dimaklumkan beliau.
Dalam pada itu, Ismail berkata, kemalangan berlaku di jalan lurus dengan permukaan jalan sedikit basah.
“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. Siasatan lanjut masih diteruskan.
“Polis menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya lebih berhati-hati terutama waktu malam dan dalam keadaan hujan disamping utamakan keselamatan,” katanya. -UTUSAN ONLINE