Lelaki jadi mangsa scam wanita - Utusan Malaysia

Lelaki jadi mangsa scam wanita

Mohd. Salleh Abdullah
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU : Ahli perniagaan warga emas mengalami kerugian RM107,000 selepas menjadi mangsa sindiket penipuan Parcel Scam dalam satu kejadian di Kluang, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Johor, Asisten Komisioner Mohd. Salleh Abdullah berkata, lelaki berusia 61 tahun itu terpedaya dengan kenalan seorang wanita Amerika dikenali sebagai ‘Laura Andreson’ di Facebook sejak awal bulan lalu.

Menurutnya, wanita itu memperkenalkan dirinya sebagai Kapten Tentera Laut Amerika Syarikat yang bertugas sebagai jururawat di Iraq di bawah panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa (PBB).

“Suspek memperdayakan mangsa kononnya telah mendapat hasil rampasan pemberontak seperti wang, emas dan berlian selain berjanji untuk menghantar semua hasil rampasan itu kepada mangsa.

“Mangsa kemudian dihubungi seorang wanita tempatan yang kononnya sebagai ejen penghantaran barang.

“Dia berkata mangsa perlu membuat pembayaran bagi tujuan perkhidmatan penghantaran wang, sijil pengubahan wang haram dan cukai emas serta berlian,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohd. Salleh berkata, tanpa membuat sebarang semakan dan memaklumkan perkara itu kepada kenalan terdekat, mangsa telah membuat sebanyak sembilan transaksi pembayaran dengan berjumlah RM107,000.

Katanya, mangsa hanya menyedari dirinya ditipu setelah gagal menghubungi suspek dan akaun Facebooknya juga disekat wanita berkenaan di laman sosial berkenaan sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Kluang semalam.

“Masyarakat dan orang ramai dinasihatkan lebih peka dengan teknik penipuan yang digunakan oleh penjenayah siber masa kini yang mengambil kesempatan terutamanya kepada golongan warga emas dan pesara. 

“Jangan mudah mempercayai seseorang yang baru dikenali. Buat semakan terperinci dengan pihak berkuasa dan pihak yang berkaitan apabila melibatkan transaksi kewangan untuk mengelakkan diri anda menjadi mangsa penipuan yang seterusnya,” ujarnya.  -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya