Lelaki ditahan sebelum sempat jual barang curi - Utusan Malaysia

Lelaki ditahan sebelum sempat jual barang curi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANJUNG MALIM: Seorang penjenayah tidak sempat untuk menjual hasil kegiatan curi selepas memecah masuk sebuah kedai besi dan kimpalan di Slim River apabila dicekup polis semalam.

Lelaki berusia 40-an yang memiliki 22 rekod kesalahan lampau itu ditangkap di rumahnya di Bandar Baru Slim River pada pukul 8.45 pagi.

Tangkapan itu dilakukan dalam tempoh tujuh jam selepas suspek memecah masuk ke premis berkenaan.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintenden Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, kejadian pada pukul 1.30 pagi itu disedari pemilik premis berkenaan apabila melihat seorang lelaki memotong mangga dan memecah masuk kedai melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di telefon bimbitnya.

Katanya, pemeriksaan yang dilakukan di kedai berkenaan mendapati terdapat beberapa peralatan didapati telah hilang.

“Suspek dipercayai pernah bekerja di premis berkenaan dan operasi mengesannya segera dijalankan sebelum lelaki itu ditangkap di rumahnya semalam.

“Kesemua barang yang dicuri itu berjaya dirampas semula selepas suspek menyembunyikan di rumahnya dan sebuah rumah lain yang terletak berhampiran,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.

Menurut beliau, siasatan mendapati suspek merupakan bekas tahanan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) dan mempunyai 22 rekod lampau atas pelbagai kesalahan.

Katanya, suspek direman selama empat hari bermula hari ini sehingga Jumaat depan.

“Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan boleh didenda atau sebat bagi kesalahan kedua dan seterusnya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya