Lelaki ditahan bersama RM875,000 rokok seludup - Utusan Malaysia

Lelaki ditahan bersama RM875,000 rokok seludup

ANTARA rokok yang dirampas pasukan polis dari Batalion 4 PGA Semenyih dalam serbuan di sebuah bangunan di Tanjung Karang, Selangor, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Tindakan lelaki yang sedang memunggah rokok seludup untuk dipasarkan di daerah ini tidak kesampaian apabila dikejutkan dengan kehadiran pasukan polis daripada Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) Semenyih di sebuah bangunan di Jaya Kenn Marketing, Jalan Kilang Padi, Tanjung Karang, semalam. 

Serbuan menerusi Ops Benteng itu dilakukan kira-kira pukul 3.30 petang itu turut menemukan  4,900 karton rokok seludup pelbagai jenama yang dianggarkan bernilai RM875,000. 

Lelaki warga tempatan berusia 38 tahun dipercayai dalang kepada sindiket pengedaran rokok seludup itu.

Pegawai Pemerintah Batalion 4 PGA Semenyih, Superintenden Rizal Mohamed berkata, hasil siasatan pihaknya telah membawa kepada serbuan di sebuah bangunan seakan-akan gudang yang memproses tepung dan gula.

“Hasil pemeriksaan telah menemukan rokok seludup yang diletakkan di dalam lori dan kenderaan jenis Toyota Altis. Siasatan mendapati lori ini dijadikan stor simpanan dan diletakkan di bangunan tersebut untuk mengaburi mata pihak berkuasa.

“Kita menemukan 4,900 karton rokok seludup pelbagai jenama yang dianggarkan bernilai RM875,000.Hasil rampasan keseluruhan membabitkan dua kenderaan adalah berjumlah kira-kira RM942,460,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, menurut Rizal, siasatan mendapati sindiket tersebut aktif dalam kegiatan mengedar rokok seludup sejak dua tahun lalu.

“Setakat ini, siasatan awal mendapati lelaki ini memperoleh bekalan daripada individu lain di ibu kota. Sindiket ini dipercayai mengedarkan rokok seludup di sekitar daerah ini dan Sabak Bernam.

“Kesemua barang rampasan dan suspek telah dibawa ke Balai Polis Tanjung Karang untuk tindakan lanjut mengikut Akta Kastam 1967. Tangkapan dan rampasan ini telah berjaya memutuskan salah satu sindiket pengedaran dan penjualan rokok tidak bercukai di sekitar daerah ini,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN