PASIR GUDANG : Lelaki dipercayai lemas ketika terjun ke dalam laut bagi menarik bot yang telah hanyut dalam satu kejadian berlaku Kampung Tanjung Langsat di sini hari ini.
Mangsa, Fazudin Azuardi Ismadi, 33, dikatakan bersama rakan yang lain telah menaiki sebuah bot menuju ke sebuah rumah rakit untuk memancing bersama pada pukul 2.37 petang.
Ketika leka memancing, bot yang dinaiki mereka telah hanyut dibawa arus setelah ikatan tali pada tiang rumah itu terlucut.
Mangsa kemudian terjun ke dalam laut untuk menarik semula bot berkenaan, namun, tidak timbul lagi selepas itu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang, Timbalan Penguasa Bomba II, Ibrahim Omar berkata, seramai 10 anggota bersama tiga jentera termasuk sebuah bot aluminium dikejarkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan.
Beliau berkata, pihaknya bertindak membuat operasi mencari dan menyelamat dengan menggunakan kaedah ‘surface searching’ menggunakan sebuah abot.
“Skop pencarian dilakukan pada jarak satu kilometer sekitar rumah rakit tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Katanya operasi masih diteruskan sehingga lewat petang ini untuk mencari mangsa tersebut. -UTUSAN ONLINE